Portal Data Terbuka Malaysia telah merekodkan jumlah warga tua yang dimasukkan ke hospital bagi tahun 2016 sahaja seramai 2,955,800 orang sekali gus berada di tahap membimbangkan.

Oleh itu, seramai 40 pelajar Sains Eksesai UM telah melaksanakan inisiatif dengan bekerjasama bersama tiga syarikat organisasi bukan kerajaan(NGO) bagi menganjurkan Bengkel Senaman untuk Warga Tua.

Melalui penganjuran bengkel ini, para pelajar bukan sahaja berpeluang untuk memberi khidmat kepada komuniti malah, mereka juga dapat memperolehi kemahiran lapangan serta pengalaman dalam mendidik masyarakat tentang cara-cara dan manfaat bersenam dengan betul.

“80 peserta yang berumur sekitar 60 hingga 78 tahun telah hadir dan melibatkan diri dalam bengkel ini.

Kesemua senaman ini dirancang dan dilaksanakan oleh para pelajar bagi memenuhi objektif komponen-komponen kecergasan. Semua peserta memberi maklum balas yang positif selepas mengikuti bengkel ini,” kata Aow Yong Jian Wei yang mewakili pihak penganjuran bengkel tersebut.

Sementara itu, seorang peserta Janet, 73 berkata program seperti ini sangat baik dan memberi satu pengetahuan yang berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian.

“Sebelum ini saya fikir melakukan senaman adalah leceh kerana kita memerlukan peralatan dan tempat yang khusus seperti gimnasium.

“Namun setelah menghadiri bengkel ini, perspektif saya terus berubah kerana mereka telah menunjukkan cara untuk kita menerapkan senaman yang berstruktur dalam aktiviti harian sambil mensasarkan peningkatan komponen-komponen daya ketahanan, kekuatan, fleksibiliti, keseimbangan badan dan koordinasi”, katanya. - UTUSAN ONLINE