Anugerah itu diberikan kepada Khairul Hafizuddeen, 24, selepas menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.81 selain turut menerima Anugerah Dekan.

Menurut Khairul Hafizuddeen, banyak faktor menyebabkan beliau bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan antaranya ialah untuk menggembirakan keluarga selain mahu bangkit daripada sejarah lama ketika belajar di pusat tahfiz.

“Pencapaian ini adalah hasil sokongan kedua-dua ibu bapa Abd. Aziz Mohd. Nor, 56, dan Noor Al; Ahya Hasnol, 53, yang selama ini banyak memberi galakan selain isteri saya, Siti Shazwani Hassan, 24, yang dinikahi tiga minggu lalu.

“Kejayaan ini juga membuktikan saya mampu bangkit daripada sejarah lama iaitu menjadi mangsa buli secara mental (dipulau dan diasingkan) ketika belajar di pusat tahfiz,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Hari ini Khairul Hafizuddeen diraikan dalam Majlis Konvokesyen MMU dan Anugerah Presiden itu disampaikan oleh Canselor MMU, Tun Zaki Tun Azmi sambil disaksikan Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq. - UTUSAN ONLINE