Melalui kemahiran bahasa, khususnya bahasa Melayu seseorang itu akan memahami makna kata, menguasai perbendaharaan kata, memahami makna peribahasa, membina ayat yang gramatis dan menyampaikannya dengan penuh santun dan sopan.

Bahasa Melayu sudah lama membentuk dan membina budaya berfikir melalui adat resam, kehidupan berkeluarga dan masyarakat serta negara.

Oleh itu, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi dan bahasa pengantar di sekolah sangat penting. Minda Melayu sejak dahulu lagi menguasai kemahiran tinggi berbahasa.

Hal ini dapat dikaji dan dilihat melalui peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, bahasa kiasan dan juga karya sastera seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak. Kedalaman makna yang berlapis-lapis terdapat dalam falsafah, budaya dan kehidupan bangsa Melayu itu sendiri.

Falsafah yang terkandung dalam karya sastera ini bukan sahaja tentang adat istiadat, tetapi juga ilmu pengetahuan, nilai hidup, etika, budaya yang baik dan panduan hidup kepada generasi muda bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

Dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah penguasaan kemahiran bahasa sangat penting.

Bagi murid dan pelajar yang mampu menguasai dwibahasa atau lebih akan dapat menguasai banyak ilmu pengetahuam, kemahiran berbahasa, mempunyai pemikiran kritis dan kreatif dan mampu menulis serta menghasilkan karya kreatif yang baik dan berkesan.

Kajian beberapa pakar psikologi pendidikan berkaitan dengan pembelajaran aktif berkaitan bahasa iaitu seseorang murid atau pelajar yang mampu menguasai lebih daripada dua atau tiga bahasa mempunyai pengetahuan yang luas berbanding murid dan pelajar yang hanya menguasai satu bahasa. Perkembangan fizikal, sosial dan emosi serta intelek lebih terkedepan berbanding murid dan pelajar lain.

Kemajuan dalam perkembangan dan hubungan sosial dengan rakan sebaya lebih meluas dan cepat berkembang apabila murid dan pelajar tersebut mampu menguasai bahasa Melayu serta pelbagai bahasa lain.

Perkembangan sosial individu banyak dipengaruhi oleh penguasan banyak bahasa, persekitaran yang menjurus kepada perkembengan personaliti individu.

Melalui pengalaman berinteraksi dengan rakan sebaya melibatkan kemajuan perkembangan sosiobudaya dan kemajuan dalam aspek komunikasi melalui pelbagai kemahiran bahasa.

Kini, ramai kalangan murid dan pelajar mahir berbahasa lain seperti Jepun, Korea, Perancis dan sebagainya melalui usaha mereka sendiri yang belajar melalui YouTube di Internet.

Usaha ini akan meningkatkan kemahiran berfikir dengan penguasan pemikiran dalam pembelajaran di sekolah terutama dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Melalui penguasan dan kemahiran bahasa-bahasa lain yang dikuasai akan membina budaya berfikir lebih maju berbanding murid dan pelajar lain. Hal ini disebabkan bahasa juga menyumbang kepada pelbagai ilmu pengetahuan baharu seperti budaya, gaya hidup dan penemuan baharu dalam bahasa tersebut.

Semakin maju dunia semakin mudah untuk belajar terutama menguasai bahasa lain di dunia.

Pembelajaran melalui seni kata dan lagu-lagu yang digemari dapat mempercepat penguasaan bahasa lain kepada generasi muda. Budaya berfikir juga berkembang apabila mampu menguasai bahasa-bahasa penting di dunia.

Sejarah perkembangan bahasa menunjukkan bahawa setiap bahasa kaya dengan nilai dan etika, kepercayaan, pantang larang, adat istiadat, peralatan permainan, peralatan senjata, jenis makanan dan juga pekaian.

Begitulah dengan bahasa Melayu yang kaya dengan falsafah hidup dengan sejarah perkembangannya.

Bagi bahasa Melayu hubungan bahasa dan budaya juga amat rapat seperti melalui simpulan bahasa, peribahasa, kiasan, perumpamaan, kata-kata hikmat, pantun, kesantunan berbahasa, ragam bahasa, parabahasa dan paralinguistik.

Oleh sebab itu, banyak pelajar dari luar negara yang belajar di universiti di negara ini minat dan mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Selain mahir berbahasa mereka juga memahami adat istiadat Melayu, budaya Melayu melalui pembelajaran bahasa Melayu secara tidak langsung.

Jelaslah, penguasaan banyak bahasa mampu membina budaya berfikir dalam kalangan murid dan pelajar serta generasi muda masa kini.

Hal ini ditambah pula dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang semakin berkembang maju, setiap hari bercambah dalam dunia moden yang merentas cepat dan pantas melalui gerbang Internet.

Ironinya, fikiran anda adalah milik anda yang paling berharga. Oleh itu, jangan menggunakannya hanya bagi perdebatan dan menyebar berita yang tidak sahih yang tidak bermanfaat kepada diri kita dan juga masyarakat.

Gunakan kemahiran bahasa ke arah kebaikan dan kebajikan dengan penuh ilmu kepada seluruh masyarakat.