Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Aswara, Profesor Madya Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, MoU tersebut merupakan pelan strategik pihaknya bagi membangunkan semua prog­­ram pengajian yang ditawarkannya.

“Banyak pihak yang bakal mendapat kelebihan daripada MoU ini termasuk pelajar, pensyarah dan Yayasan Bank Rakyat sendiri.

“Kita sedia maklum bahawa Aswara adalah satu institusi pendidikan yang mempunyai kedudukan ter­sendiri dan hasil daripada kerjasama ini, kami percaya akan dapat meningkatkan kualiti pelajar serta graduan yang berkemahiran,” kata­nya dalam majlis menandatangani MoU berkenaan di sini, malam semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Suraya Arbi; Pendaftar Aswara, Md. Zusmaidi Abdul Aziz; Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Aswara, Raja Norsheela Raja Aziddin dan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin.

Sementara itu, Norashikin berkata, kerjasama tersebut akan memfokus kepada golongan peringkat akar umbi iaitu pelajar yang kurang berkemampuan dan graduan Aswara yang belum bekerja.

“Kita akan bantu mereka dari aspek kemahiran teknikal seperti penggunaan teknologi dan media sosial yang akhirnya dapat memberi pulangan ekonomi kepada diri pelajar tersebut.

“Perkara ini sekali gus dapat mengukuhkan nama Aswara sendiri yang bakal bergelar Universiti P. Ramlee, awal tahun hadapan,” katanya.