Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam satu kenyataan berkata, majlis anugerah anjuran Kementerian Pendidikan itu memasuki tahun keenam penganjurannya dan USIM berbesar hati kerana diberi kepercayaan menganjurkannya kali ini.

Katanya, ATS bakal mengiktiraf pencapaian mahasiswa dan ketokohan mereka dengan penglibatan aktif dalam program berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Sebanyak 15 anugerah dipertandingkan mencakupi aspek kepemimpinan, kesukarelaan, keusahawanan, kebudayaan, sukan dan lain-lain dengan keseluruhan sebanyak 245 pencalonan diterima.

“Salah seorang pemenang daripada 15 kategori ini akan diangkat sebagai penerima anugerah utama iaitu Anugerah Menteri Pendidikan dengan penerimanya digelar Tokoh Siswa Kebangsaan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, sejak dianjurkan pada 2013, ATS menjadi platform melahirkan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) yang lebih menonjol bukan sahaja memiliki pencapaian akademik tinggi, malah mempunyai sahsiah diri yang berketerampilan.

“Melalui penglibatan aktif di kampus, mereka berupaya meningkatkan pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran bahasa, kepemimpinan, etika dan rohani,” ujarnya.

Jelasnya, pemilihan penerima Anugerah Menteri Pendidikan pula dibuat melalui sesi penilaian yang ketat di peringkat kementerian tersebut.

“Calon-calon melalui dua proses proses temu duga iaitu temuduga secara berkumpulan dan individu. Daripada 15 pemenang bagi kategori yang dipertandingkan, hanya lima calon terbaik yang akan ditemuduga bagi dipilih sebagai pemenang anugerah itu,” katanya.

Turut dipertandingkan adalah Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang mula diperkenalkan pada tahun 2014.

“Sebanyak 35 permohonan diterima pada tahun ini dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dijadual merasmikan ATS 2018 yang akan menghimpunkan 800 tetamu terdiri daripada pengurusan tertinggi kementerian dan universiti selain mahasiswa dari IPT awam serta swasta. - UTUSAN ONLINE