Kejayaan Ruzimi yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan merupakan seorang ahli perniagaan itu turut dikongsi bersama isterinya, Quratul Ain Hassanan, 33, yang setia bersama memberi sokongan kepada beliau sepanjang tempoh tujuh tahun pengajiannya.

Lebih manis, pasangan itu juga bakal menimang cahaya mata sulung pada minggu hadapan sekali gus menjadi kejayaan berganda buat Ruzimi.

“Keadaan diri serba kekurangan yang mendorong saya untuk belajar sehingga peringkat PhD, malah pencapaian saya ini bukan sahaja akan memberi dorongan kepada golongan seperti saya tetapi juga mampu menutup mulut mereka yang memandang rendah kepada saya selama ini.

“Jangan pernah mengalah, itu kata-kata semangat yang saya pegang selama ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Ruzimi antara 227 graduan menerima Ijazah PhD yang disempurnakan Cansoler UTM, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Sementara itu, jurulatih pasukan karate Johor, Wong Keng Yinn, 30, turut menerima Ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan Mekanikal biarpun sibuk dengan tugasan melatih pasukan negeri ini dalam kategori Kata bagi menghadapi Sukan Malaysia 2020 (Sukma 2020).


Jurulatih pasukan karate Johor, Wong Keng Yinn pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-62 di UTM Johor Bahru.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu mengambil masa tiga tahun untuk menamatkan pengajiannya dan bercita-cita untuk menjadi pensyarah di UTM.

Perlu bijak membahagikan masa, itu merupakan pendekatan yang diambil Keng Yinn yang pernah memenangi pingat emas pada kejohanan karate peringkat Asia pada tahun 2007 dan tempat ketujuh pada Kejohanan Universiti Dunia tahun 2012, kedua-duanya dalam kategori Kata.

“Untuk menamatkan pengajian ini saya terpaksa berkorban masa terluang saya dengan memberi tumpuan kepada pengajian dan kerja kejurulatihan, pada waktu pagi dan tengahari saya fokus kepada pelajaran dan lewat petang saya melatih pasukan karate,” katanya yang merupakan seorang anak tunggal. - UTUSAN ONLINE.