Pengarah Urusan Institut Teknologi PKZ Maju, Ka­marudzaman Bakar berkata, kema­hiran yang diperoleh pe­lajar se­­panjang pengajian bersama dengan sijil operasi vo­­kasional (VTO) akan menempatkan mereka dalam pelbagai bidang kerjaya.

“Terima kasih kepada semua pihak kerana memberi kerjasama kepada Institut Teknologi PKZ Maju sehingga berjaya mengeluarkan ramai tenaga pengajar untuk menjadi usahawan berjaya pada masa akan datang.

“Sekiranya ingin menjadi seorang pengajar yang hebat, mereka perlu mempunyai sijil VTO terutama dalam bidang kecantikan, perakaunan, fesyen, pendidikan awal kanak-kanak, memasak, elektrik, pembinaan bangunan dan lain-lain,” katanya ketika berucap sempena Istiadat Konvokesyen Kedua Institut Teknologi PKZ Maju tersebut.

Yang turut hadir, Penasihat Institut Teknologi PKZ Maju, Bakar Shariff dan Pengurus Institut Teknologi PKZ Maju, Nor Hafizah Hassan.

Kamarudzaman berkata, pi­haknya sedia melakukan apa sahaja yang terbaik untuk memberi latihan serta sijil kepada mereka yang berminat dengan kerjaya dalam bidang kemahiran.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Utara, Mohd. Azmir Ahmad dalam ucapannya berkata, bidang tersebut sekiranya diterokai dengan serius dapat memberikan pendapatan lumayan.

“Saya kagum kerana sekarang sudah ada pelajar dari Sabah dan Sarawak sanggup belajar di Institut Teknologi PKZ.

“Sesiapa sahaja perlu serius untuk membaiki diri sendiri, jika tidak mempunyai ilmu tentang bidang binaan bangunan, elektrik serta lain-lain, seseorang agak sukar untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Sementara itu, seorang gra­duan, Siti Shahira Md. Akhir, 23, dari Ayer Hitam, Jerlun melahirkan perasaan gembira kerana di­pilih sebagai penerima Anugerah Sahsiah Terpuji PKZ dalam majlis tersebut.

“Saya amat berminat dalam bidang kontraktor dan di PKZ saya belajar bagi mendapatkan sijil yang disediakan.

“Pada masa ini, tidak ramai wanita berminat dengan kerjaya kontraktor. Bapa saya, Md. Akhir Musa adalah seorang kontraktor, ibu saya, Sarena Abu Seman juga seorang kontraktor selain abang saya, Muhamad Zulfikar Hakim dan sekarang saya pula,” katanya.