Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya 50 calon pada STPM 2015.

“PNGK negeri ini bagi STPM 2016 ialah 2.81, meningkat sebanyak 0.05 mata berbanding 2. 76 pada STPM 2015.

“Dengan keputusan itu, pencapaian negeri ini mengatasi nilai PNGK peringkat kebangsaan, iaitu 2.71 mata,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2016 di Jabatan Pendidikan nege­ri, di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 5,220 calon mendaftar menduduki peperiksaan itu tahun lalu yang terdiri daripada calon sekolah kerajaan dan 22 calon persendirian.

“Seramai empat calon dari negeri ini telah dipilih untuk menerima Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.

“Anugerah Sekolah Terbaik Peringkat Kebangsaan pula diterima oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara, Kulai yang memperoleh keputusan PNGK 3.26 mata de­ngan kelulusan 100 peratus dan calon cemerlang seramai enam orang,” katanya.

Menurutnya, pelajar terbaik yang menerima anugerah di pe­ring­kat kebangsaan ialah Lim Lee Peng dari SMK Tunku Putra, Batu Pahat; Ng Xin Ye dari SMK Taman Kluang Barat, Kluang; Lim Xin Huo dari SMK Seri Bandar Pontian, Pontian dan Khairunnisaq Khairuddin dari SMK Bandar Mas, Kota Tinggi.

Katanya, Xin Huo merupakan pelajar kurang upaya, iaitu mengalami rabun dan mendapat keputusan PNGK 3.67 mata de­ngan 3A, 1A-.