Rektor TATIUC, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, perkembangan positif itu sekali gus membuktikan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu kini berada di landasan tepat dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi untuk pasaran kerja dan permintaan industri.

Katanya, berdasarkan perangkaan sama, masing-masing 2.10 peratus graduan sedang menunggu penempatan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran manakala 19.69 peratus melanjutkan pengajian dan 34.12 peratus yang belum bekerja.

“Kadar kebolehpasaran graduan pada tahun lalu mengatasi rekod tahun sebelumnya iaitu 30. 97 peratus yang berjaya mendapatkan pekerjaan sebelum bergraduasi.

“Ini bermakna masalah pengangguran kurang membelenggu kalangan graduan TATIUC kerana mereka berjaya mendapatkan pekerjaan dalam bidang yang dipelajari sejurus selepas tamat pengajian walaupun ketika itu belum lagi bergraduasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

TATIUC menawarkan 10 program ijazah sarjana muda, diploma (13 program), sarjana (dua program) dan asasi (dua program) yang membabitkan bidang seperti pembuatan, automasi, elektrikal, ujian tanpa musnah, kimia, polimer, komputer, pengurusan teknologi dan media grafik.

Menurut Anuar, mereka yang berminat untuk menyambung pengajian di TATIUC turut berpeluang menikmati manfaat Biasiswa Terengganu Sejahtera yang baharu diperkenalkan tahun ini.

Katanya, bantuan itu meliputi biasiswa penuh dan elaun sara hidup berjumlah RM3,230 sepanjang pengajian untuk program asasi manakala bagi ijazah membabitkan elaun sara hidup RM1,000 setiap semester dan diploma pula (RM800 setiap semester).

“Pendaftaran bagi permohonan biasiswa itu masih lagi dibuka dan untuk maklumat lanjut hubungi 09-860 1130 atau layari www.tatiuc.edu.my,” katanya. - UTUSAN ONLINE