Ketua Penolong Pesuruhjaya Pengakap daerah, Mohd. Anuar Ibrahim berkata, mereka diiringi 40 orang guru pengakap daripada 47 buah sekolah rendah sekitar daerah ini.

"Program Scout Day Out 2019 ini adalah sebahagian daripada kokurikulum yang dianjurkan di peringkat daerah yang akan menjadikan mereka cemerlang, gemilang dan terbilang selari dengan aspirasi pendidikan.

"Malah ianya menjadi jambatan muhibah antara anggota pengakap daerah ini selain memantapkan keakraban dalam kalangan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Yang hadir sama Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kemaman, Sahani Mohd. Samsudin.

Menurutnya, program ini memberi peluang dan ruang kepada murid bersosial secara sihat selain pendedahan kepada murid mengenai tatacara dan disiplin di tempat awam.

"Mereka juga berpeluang berkenalan dan bertukar-tukar pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sesama mereka dengan mengalami sendiri pengalaman berinteraksi dengan teknologi layar perak dalam menghayati cerita Hutan yang lebih berkesan," ujarnya.

Menurut Mohd. Anuar, ini kerana pengakap mampu membimbing murid serta pelajar untuk membina sistem nilai berasaskan prinsip-prinsip kerohanian, sosial dan keperibadian seperti yang ternyata dalam Persetiaan dan Undang-undang Pengakap.

"Semoga program Scout Day Out 2019 ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai matlamat sebagaimana diharapkan.

"Kerjasama dan komitmen semua pihak pastinya akan menghasilkan impak positif dan seterusnya menjadikan program ini sebagai acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh ahli pengakap daerah Kemaman," katanya. - UTUSAN ONLINE