Istiadat yang bermula hari ini meraikan graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Pengajian Diploma Lepas Ijazah (PDPLI), Program Pensiswazahan Guru (PPG) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KPGM) dalam pelbagai pilihan bidang.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, graduan yang akan bergelar guru tidak lama lagi diharap dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran pendidikan abad ke-21 (PAK21) yang menekankan aspek kemahiran teknologi dan kemahiran berfikir aras tinggi.

Beliau juga berharap para graduan dapat terus memberikan sokongan kepada Kementerian Pendidikan dalam usaha kementerian tersebut mengangkat kualiti pendidikan negara ke tahap yang lebih baik.

“Guru masa ini perlu memanfaatkan segala wahana yang ada dan meningkatkan penguasaan teknologi, seiring dengan perubahan dalam pendidikan yang sedang berlaku kini.

“Guru perlu menggunakan ruang yang ada, tidak sekadar menggunakan buku sebaliknya berusaha menjalankan pengajaran yang mampu memberi kefahaman kepada murid,” katanya dalam ucapan perasmiannya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE