Kehadiran mereka adalah sempena program Jom Masuk Kampung (JMK) 2018 yang merupakan program pertama kali diadakan bersama-sama masyarakat Orang Asli bermula dari 23 Ogos lalu sehingga hari ini anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dengan kerjasama Food For Hunger (F4H) Organisation.

Pengerusi YDKMM, Ahmad Umair Zulkefli berkata, pada hari pertama program, sukarelawan-sukarelawan YDKMM dari ketiga-tiga negara mulai tiba di Kolej Komuniti Gerik dekat sini yang merupakan tempat penginapan tetap mereka sepanjang program berlangsung.

“Alhamdulillah, kelmarin, sebanyak enam ekor lembu dan seekor kambing telah disembelih oleh para sukarelawan dan da­ging korban tersebut kemudiannya diagihkan kepada seramai 2,913 Orang Asli di kawasan perkampungan Orang Asli di Rancangan Pembangunan Semula (RPS), Banun.

“Agihan ini kemudian dite­ruskan pada keesokan harinya di kawasan perkampungan Orang Asli di Royal Belum di mana para sukarelawan perlu menaiki bot untuk ke kawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Umair berkata, selain penyerahan daging korban, pelbagai aktiviti turut dijalankan belia-belia terlibat bersama anak-anak Orang Asli dalam usa­ha memupuk hubungan yang lebih akrab antara kedua-dua pihak.

Kata beliau, antara aktiviti tersebut termasuklah sukaneka seperti permainan cari gula dalam tepung, bawa belon air berpasangan, rebut kerusi dan lain-lain lagi.

“Semua kumpulan kanak-kanak Orang Asli yang telah menyertai sukaneka ini telah mendapat hadiah berbentuk hamper makanan.

“Di samping memupuk hubu­ngan yang lebih baik, tujuan program ini diadakan juga adalah bagi menerapkan nilai Islamisasi dalam masyarakat Muslim Orang Asli terlibat,” katanya.

Tambah Ahmad Umair, pada Konvensyen Kepemimpinan Orang Asli Islam peringkat kebangsaan 2018 yang lalu, isu ber­kaitan pendidikan agama dan aliran kefahaman telah dibawa di mana isu ini perlu dititikberat­kan oleh pihak-pihak berwajib.

Malah kata beliau, langkah ini juga bertepatan dengan titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah iaitu “Bila sesuatu penempatan Orang Asli di negara ini memilih Islam sebagai cara hidup, mereka perlu dibantu dan dibimbing apabila segala kemudahan dapat disediakan program dakwah juga mudah dilaksanakan.”

“YDKMM komited dalam me­rancang usaha-usaha bagi memastikan isu pendidikan dan kefahaman agama terhadap ma­syarakat peribumi ini dibela,” katanya.