Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) dalam satu kenyataan memberitahu, menara kedua yang ditawan Suwaibah semalam ialah menara 84 tingkat yang memiliki ketinggian 309 meter dengan catatan masa 14 minit 17 saat.

“Misi selanjutnya akan diteruskan di beberapa negara seperti Indonesia, Singapura, Rusia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara lain.

“Misi kedua semalam telah dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia di Bangkok, Datuk Jojie Samuel bersama wakil Baiyoke Sky Hotel, Chaiporn Mahakan. Misi tersebut juga mendapat kerjasama daripada rakan strategik Global Ikhwan Foundation Sdn. Bhd. dan restoran Love & Care,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Misi menawan 30 menara adalah sebuah misi yang telah digerakkan YPNM bersama Suwaibah.

YPNM turut melantik Suwaibah sebagai Ikon Patriot bagi mencipta rekod dunia dalam Guinness World Record dan menjadi wanita pertama Malaysia yang dapat menawan 30 menara tertinggi dunia menerusi larian solonya dalam misi tersebut.

Beliau telah memulakan misi itu dengan menawan Menara Avala di Belgrade, Serbia, dengan ketinggian 250 meter bersamaan 672 kaki pada 31 Ogos 2016 dan misi tersebut dijangka akan tamat pada tahun 2020.

Tambah kenyataan itu, misi menawan 30 menara tertinggi dunia itu juga telah mendapat pengiktirafan daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah menyatakan persetujuan sebagai Penaung Kehormat.

“Selain misi ini, Patriot juga melaksanakan kempen Demi Pembangunan Negara yang berjaya mengumpul RM650,000 hasil daripada jualan nombor plat Patriot dan wang tersebut telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada 20 Julai 2018 untuk disumbangkan kepada Tabung Harapan Negara.

“Dengan mesej keamanan dunia dan semangat patriotisme, Patriot berharap inisiatif yang digerakkan Suwaibah ini dapat memberi semangat dan sumber inspirasi kepada beliau untuk terus mengibarkan jalur gemilang dan mengharumkan nama baik Malaysia,” tambah kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin menyokong Misi 30 Menara itu boleh membuat sumbangan melalui pembelian nombor plat Patriot di laman plat.patriot.org.my atau hubungi sekretariat plat Patriot di talian 019-4475555. – UTUSAN ONLINE