Keadaan itu dilihat berdasarkan persepsi apabila berada dari luar TSR atau pun ketika hendak menghampiri pangkalan hadapan tersebut.

Pangkalan yang pernah dijadikan dermaga cari gali minyak itu sebenarnya mempunyai tanggungjawab amat besar terhadap keselamatan perairan Semporna.

Ia berperanan memastikan tiada pencerobohan atau aktiviti jenayah berlaku yang mungkin cuba dilakukan oleh mana-mana pihak terutama kumpulan pemisah atau pengganas dari negara jiran.

Ini kerana perairan Semporna di Sabah itu terletak berhampiran dengan negara jiran seperti Filipina.

TSR merupakan pangkalan penting dalam Op PASIR (Padanan and Sipadan Island Resort) di bawah operasi Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) dengan anggota-anggotanya bertugas 24 jam untuk memantau selain bersedia mengambil tindakan pantas jika keadaan memaksa.

Para petugas TSR menjalani rutin dan tugas harian sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan perairan dan negeri Sabah tidak diceroboh mahu pun diancam pihak luar.

Ini termasuk memantau pergerakan kapal di perairan Semporna termasuk bot-bot nelayan, pelancong dan sebagainya.

Setiap pergerakan kapal dan bot tanpa mengira waktu sama ada siang atau malam hari, sentiasa dipantau oleh petugas TSR.

Pemantauan termasuk menggunakan radar dan juga teropong terutama pada malam hari.

Apa yang menarik, TSR dapat mengesan kedudukan serta pergerakan kapal dan bot termasuk aktiviti yang mencurigakan di perairan berkenaan.

Malah, TSR mampu mengesan setiap pergerakan bermula dari sempadan perairan antarabangsa termasuk jika ada kapal atau bot yang hendak menceroboh perairan Sabah secara haram.

Pada masa sama, pemantauan TSR terhadap pergerakan di perairan Sabah itu dapat memberi bantuan dan pertolongan kepada kapal serta bot jika berlaku sesuatu kejadian tidak diingini.

Sedia tangani ancaman subversif

PANGKALAN Laut Tun Sharifah Rodziah (TSR) yang merupakan pangkalan hadapan antara lain bertanggungjawab menangani apa jua bentuk keganasan dan pencerobohan.

Pegawai Memerintah TSR, Komander Khairuddin Mohamad Paudzi (TLDM) memberitahu, pihaknya sentiasa bersedia untuk menangani apa jua bentuk keganasan selain bertindak dalam konsep ‘cegah dan rintang’ terhadap pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, TSR sentiasa memantau pulau-pulau berhampiran termasuk Pulau Gaya, Sibuan, Matabuan, Bohey Dulang, Pom-pom, Mataking dan beberapa kawasan lain.

Jelas Khairuddin, selain pemantauan dilakukan, pihaknya juga mengadakan rodaan menggunakan bot tempur sepanjang masa bagi memeriksa bot-bot atau kapal yang mencurigakan di perairan Sabah.

Bot-bot yang meronda itu akan memintas mana-mana pihak yang mencurigakan selain memeriksa bentuk barangan yang dibawa.

Dalam situasi tertentu, peronda TSR akan memberi bantuan kepada bot-bot yang menghadapi masalah sebaik sahaja menerima maklumat.

“TSR yang bertanggungjawab dalam Op PASIR (Padanan and Sipadan Island Resort) dan di bawah operasi Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) bukan sekadar memantau dari pelantar ini, malah kita juga menjalankan rondaan dan pemeriksaan.

“Pengurusan TSR di bawah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kita akan bertindak memintas mana-mana aktiviti yang mencurigakan di perairan sebaik sahaja memperolehi maklumat.

“Kita mempunyai petugas yang memantau menggunakan radar selain memantau dari atas pelantar menggunakan teropong,’’ katanya.