“Ketika itu timbul pelbagai perasaan dalam hati dan rasa insaf dengan apa yang berlaku.”

MOHD. RAZI ABD. MUTTALIB
MOHD. RAZI ABD. MUTTALIB 

Demikian luahan pegawai Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (Storm) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd. Razi Abd. Muttalib, 32, ketika menceritakan pengalamannya dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong, Pulau Pinang, Oktober lalu.

Beliau yang memegang jawatan Pegawai Bahagian Keselamatan Kebakaran Zon 5, Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang memberitahu, mayat wanita warga Myanmar itu ditemukan pada pukul 11 malam, lapan jam selepas insiden tersebut berlaku.

“Ketika ditemukan keadaan mayat itu cukup menyayat hati kerana mangsa dalam keadaan memeluk dahan pokok untuk menyelamatkan diri.

“Malangnya tindakannya itu tidak berhasil bahkan dia dihempap bersama dengan pokok tersebut sebelum tertimbus hidup-hidup dalam tanah,” katanya ketika ditemui Mega Wira di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 19 Oktober lepas, sembilan buruh warga asing maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek pembinaan jalan berkembar di kawasan berkenaan.

Insiden pukul 2 petang hari Jumaat itu turut mengakibatkan empat yang lain cedera selepas kontena yang dijadikan kediaman ditimbus tanah.

MOHD. RAZI ABD MUTALIB bergambar bersama pegawai bomba Britain pada Global Fire Fighter and Paramed
MOHD. RAZI ABD MUTALIB bergambar bersama pegawai bomba Britain pada Global Fire Fighter and Paramedic 2016 di Singapura.

Menyambung ceritanya, Mohd. Razi menjelaskan, usaha untuk mengeluarkan mayat wanita warga Myanmar itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Ini kerana katanya, beliau bersama anggota lain mengambil masa hingga empat jam bagi memastikan mayat dikeluarkan dalam keadaan sempurna.

“Saya bersama rakan-rakan pasukan terpaksa memotong batang pokok yang tertanam di dalam tanah satu persatu sebelum mayat dibawa keluar dari situ.

“Tekanan untuk membawa keluar mayat itu dengan segera memang ada, tetapi kita perlu tahu bahawa dalam situasi ini struktur tanah yang tidak stabil juga perlu diambil kira kerana jika tersilap langkah satu pasukan akan menerima padah,” jelas anak kelahiran Selayang, Selangor itu.

Mohd. Razi Abd. Muttalib (kiri) bersama pegawai dan anggota ketika
Mohd. Razi Abd. Muttalib (kiri) bersama pegawai dan anggota ketika menyertai Global Fire Fighter and Paramedic 2016 di Singapura.

Bercerita soal tekanan pula, beliau yang sudah lapan tahun bersama JBPM turut menceritakan kesukaran pasukannya mengharungi 12 jam membawa turun mayat seorang lelaki seberat 120 kilogram dari Gunung Nuang, Hulu Langat dekat sini.

Mengakui tugas itu bukan sesuatu yang mudah, Mohd. Razi menjelaskan, pelbagai kaedah dilakukan termasuk penggunaan helikopter, namun perancangan tersebut tidak dapat dilaksanakan memandangkan struktur muka bumi yang tidak sesuai.

Jelasnya, berdepan dengan situasi itu pasukannya tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menempuh jalan berliku dengan meredah hutan dan tanah licin bagi membawa keluar mayat dari lokasi kejadian.

Mohd. Razi Abd. Muttalib (kanan) menerima Anugerah Perkhidmatan
Mohd. Razi Abd. Muttalib (kanan) menerima Anugerah Perkhidmatan  Cemerlang daripada bekas Ketua Pengarah  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim.

Tambahnya, beliau bersama ahli pasukannya terpaksa bergilir-gilir mengangkat mayat mangsa dan berhenti beberapa kali untuk berehat sebentar sebelum menyambung tugasan tersebut.

“Kalau diikutkan laluan untuk sampai ke puncak itu hanya memakan masa empat jam, tetapi oleh kerana kita mengangkat mayat, jadi ini sedikit sebanyak memperlahankan rentak untuk membawa turun mangsa.

“Terus-terang keadaan sedemikian agak melemahkan stamina kami. Jadi mahu atau tidak kami terpaksa berhenti beberapa kali untuk mengangkat mayat secara bergilir-gilir sebelum tiba di kaki gunung tersebut biarpun terpaksa mengharungi cerun 80 hingga 90 darjah,” ujarnya.