Kehadiran wanita tua ditemani anak lelakinya dengan pandangan sayu dan linangan air mata itu menimbulkan tanda tanya di hati Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah itu tentang apa sebenarnya yang terjadi kepada mereka?

Tanda tanya itu terjawab apabila lelaki muda berusia 28 tahun itu terus bertanyakan mengenai kes pembunuhan abangnya yang berlaku enam tahun lalu.

“Tuan selesaikan dua kes bunuh termasuk kes lelaki Bangladesh, tetapi kenapa tuan tidak selesaikan kes bunuh abang saya?” soal lelaki itu.

Pertanyaan itu benar-benar menyentak hati bapa kepada tiga anak lelaki itu dan siapa sangka ‘sapaan’ itu akhirnya menjadi antara pembakar semangat dan pembuka laluan untuk anak kelahiran Kampung Seriab, Kangar, Perlis ini merintis jalan dalam menyelesaikan beberapa kes pembunuhan lampau di daerah Perak Tengah.

Mohamad Jazlan memberitahu, kes pada 2013 yang diberitahu dua beranak itu merupakan antara kes pembunuhan belum selesai di daerah Perak Tengah yang berada dalam pemerhatiannya sejak memulakan tugas di daerah itu pada Mei tahun lalu.

Menurutnya, tangisan pengharapan yang mahukan pembelaan ke atas ahli keluarga itu menyebabkan beliau segera bertindak bagi mempercepatkan siasatan kes berkenaan.

Katanya, beliau bersama kumpulan pemikir yang disertai pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Perak Tengah kemudiannya mengumpul dan mengkaji semula kertas siasatan bagi mencari jawapan dan penyelesaian kes tersebut sehinggalah pesalahnya berjaya ditangkap dan didakwa di mahkamah pada 11 Februari lalu.

“Ketika ini, kami telah mendapat momentum dan saya terus mengetuai pasukan untuk menyelesaikan kes-kes jenayah berat lain.

“Dalam tempoh dua bulan, kami berjaya menemukan jawapan kepada dua lagi kes pembunuhan iaitu seorang buruh warga Indonesia pada 2010 dan yang terbaharu kes pembunuhan warganegara sama, 18 tahun lalu.

“Kedua-dua kes ini berjaya dibuat tangkapan dan kesemua suspek telah dituduh di mahkamah,” katanya.

Mohamad Jazlan menjelaskan, keberhasilannya dan pasukan menyelesaikan lima kes bunuh termasuk melibatkan jangka masa 18 tahun itu juga adalah disebabkan oleh cabaran daripada Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah.

Katanya, sebagai pegawai polis muda, ketuanya itu bukan sahaja mahu beliau menghasilkan sesuatu yang luar biasa malah memastikan pencapaian yang diraih adalah pada kedudukan tertinggi meskipun belum setahun berkhidmat di daerah itu.

“Selain cabaran yang diterima daripada Tuan Zainal, saya sendiri mahu buktikan yang kehadiran saya ke sini bukan sekadar ada sahaja.

“Saya juga mahu menepis tanggapan masyarakat yang mana kes ditutup dan tidak selesaikan adalah salah sebaliknya ia sentiasa berjalan dan dalam pemantauan kami,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman dalam mengendalikan kes, peminat siri penyiasatan itu berkata, beliau akan pergi ke lokasi pembunuhan untuk membayangkan suasana kejadian dan merasai aura di situ.

“Selain mengkaji kes, saya akan kembali semula ke tempat itu dan apabila datang, kita dapat rasa apa yang berlaku walaupun kejadian itu telah sekian lama berlalu.

“Bagi mengesan suspek pula, kami berhadapan cabaran untuk menjejak semula saksi-saksi yang terlibat. Untuk meminta mereka mengingati kejadian juga agak sukar kerana peristiwa telah lama berlaku dan di sini letaknya tugas dan kebijaksanaan kita untuk membantu mereka mengimbas semula kes,” katanya.

Tambah Mohamad Jazlan, dalam menjalankan tugas, beliau selalu berpegang kepada pesanan mentornya agar menjadikan tugas membantu orang sebagai fardu kifayah.

“Allahyarham Sarjan Mejar Ezswan Abdullah@Mutukumar adalah guru pertama saya dalam siasatan jenayah. Dia banyak mengajar saya dalam mengenal pasti petunjuk dan yang mana boleh mencipta potensi. Dia adalah mentor saya,” katanya.

Diserang hendap di Tandou

SELEPAS menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 2008, Mohamad Jazlan dihantar bertugas ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Sabah.

Tempoh enam tahun berkhidmat sebagai pegawai penyiasat jenayah di Negeri di Bawah Bayu itu memberi pengalaman berbeza terutama semasa menangani krisis pencerobohan pengganas Sulu.

Menurutnya, beliau dan rakan sepasukan telah diserang hendap ketika masuk ke kawasan Kampung Tanduo untuk membawa keluar 12 mayat pengganas.

“Semasa kami dan pasukan forensik mahu mengangkat mayat, kami telah diserang hendap. Ketika itu kami terkepung dalam tiga hingga empat jam yang berakhir pada pukul 4 petang.

“Perasaan ketika itu sukar digambarkan. Pelbagai perkara yang terlintas di hati terutama mengenangkan anak yang baru lahir. Namun apabila melihat rakan sepasukan, semangat juang semakin kuat,” katanya.

Mohamad Jazlan memberitahu, menjadi sebahagian warga Sang Saka Biru bukanlah janggal baginya kerana datuk, bapa dan bapa saudaranya sendiri menaburkan bakti dalam pasukan keselamatan itu.

Malah katanya, beliau memperisterikan wanita yang merupakan seorang anak anggota polis.

“Arwah bapa pada mulanya menentang minat saya dalam badan beruniform ini, namun seminggu sebelum meninggal dunia, dia merestui dan memberi kebenaran untuk menyertai polis,” katanya.

KES YANG DISELESAIKAN

  • Seorang pengawal keselamatan ditembak rakan sekerjanya di sebuah kilang di Taman Farmaseutikal Seri Iskandar pada 31 Ogos 2018. Suspek kes telah didakwa di Mahkamah Majistret Parit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  • Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan kerana dipercayai membunuh pekerja lelaki warga Bangladesh yang mayatnya dicampak di Sungai Galah, Kampung Gajah pada 15 Disember 2018. Suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Batu Gajah.
  • Lapan lelaki Orang Asli termasuk anggota tentera ditahan untuk siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki di Lombong Kapal 7, Pulau Burung Sungai Galah di Kampung Gajah pada 6 April 2013. Kesemua mereka didakwa pada 11 Februari lalu.
  • Seorang lelaki warga emas yang merupakan pemastautin tetap warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Parit atas pertuduhan membunuh seorang buruh lelaki warga Indonesia di Bota Kanan pada 6 Mei 2010.
  • Seorang buruh binaan warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 11 Mac lalu atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan senegara di tapak projek pembinaan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada 14 April 2001.