Tanpa berfikir panjang, Ahmad Lutfi terus mengemas pakaian dan meninggalkan ahli keluarganya di kampung untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana dia diperlukan bagi mengendalikan siasatan kes tersebut.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, dia bersama beberapa anggota melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mendapati terdapat seorang lelaki dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil soal siasat mendapati lelaki tersebut dan mangsa telah bergaduh ketika mabuk sebelum menikam rakannya. Kes itu berjaya diselesaikan dalam beberapa jam sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, tidak sampai 48 jam, Ahmad Lutfi dan pasukannya dikejutkan dengan satu lagi kes bunuh membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun yang ditemukan mati dengan lebih 30 tikaman di sebuah rumah di Kepong.

Katanya, dia serta beberapa anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan dan mereka telah mengambil keterangan beberapa saksi berada di lokasi kejadian iaitu ibu, nenek serta bapa saudara mangsa yang turut menemukan mayat berkenaan.

Jelasnya, berdasarkan keterangan bapa saudara mangsa, rumah tersebut dipecah masuk oleh perompak yang turut membunuh kanak-kanak terbabit, malah hasil pemeriksaan mendapati semua pintu di rumah berkenaan ‘dikopak’ penjenayah.

“Keterangan awal suspek seakan-akan benar, namun kami mula berasa ragu apabila hasil ujian air kencing mendapati lelaki berkenaan positif methamphetamine.

“Lebih mengukuhkan kes apabila kita turut menemukan dua gunting dipercayai senjata digunakan suspek dalam sebuah longkang kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Ujar Ahmad Lutfi, sebaik sahaja menemukan gunting tersebut, pihaknya melakukan soal siasat dengan ibu bapa mangsa dan memaklumkan gunting berkenaan milik mereka, namun tidak pernah dibawa keluar dari rumah.

“Akhirnya hasil siasatan mendapati ketika kejadian, suspek sedang menghisap dadah dan mangsa datang kepadanya. Akibat takut kegiatannya terbongkar malah bawah pengaruh dadah, dia mula menikam kanak-kanak itu.

“Kes tersebut berjaya didakwa di mahkamah dan suspek telah dijatuhkan hukuman,” ujarnya.

Lutfi pakar risikan, operasi

BERPENGALAMAN selama 13 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pegawai penyiasat di IPD Putrajaya; pegawai pendakwaan di mahkamah Putrajaya; Ketua Balai Polis Presint 7, Putrajaya; dan Ketua Balai Polis Jinjang banyak membantu Ahmad Lutfi Abdul Mutalip dalam mengendalikan kes bawah tanggungjawab pasukan risikan dan operasi.

Menurutnya, pelbagai kes yang perlu diselesaikan pihaknya terutama jenayah samun serta curi kenderaan bagi memastikan keamanan di daerah Sentul terjamin,

Jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu, setiap hari satu atau dua kes samun atau curi kenderaan berlaku di daerah itu dan pihaknya sentiasa melakukan perancangan rapi bagi menghadapi kumpulan yang mendalangi jenayah berkenaan.

“Ketika bertugas sebagai Ketua Balai Polis Jinjang yang juga bawah daerah Sentul, saya banyak didedahkan dengan jenayah samun dan curi kenderaan jadi sedikit sebanyak pengalaman di sana membantu tugas saya dalam pasukan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Lutfi memberitahu, antara kekangan yang dihadapi adalah trend jenayah kini telah berubah malah banyak dipengaruhi televisyen.

Jelas beliau, contohnya bagi jenayah samun dan curi kenderaan yang mana tidak tertumpu kepada satu kumpulan atau sindiket sahaja.

“Jika kami berjaya menumpaskan satu kumpulan, akan ada banyak lagi geng yang wujud bagi melakukan aktiviti samun dan curi kenderaan.

“Jadi kami perlu sentiasa melakukan risikan dan meningkatkan rondaan serta kawalan di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan atau lokasi ‘panas’,” katanya.

Tambahnya, walaupun ada juga anggota serta pegawai yang cedera ketika dalam operasi, namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berkhidmat demi masyarakat di kawasan Sentul.

Kes culik uji keupayaan Mohd. Hafiz, Murugan

MENGENDALIKAN kes kehilangan seorang warga Pakistan yang dipercayai diculik menguji keupayaan Inspektor Mohd. Hafiz Abd. Majid, 32, dan Inspektor P. Murugan, 35, sebagai pegawai polis.

Menurut Mohd. Hafiz, dia dan Murugan turut ‘berkampung’ di pejabat selama empat hari bagi mencari petunjuk serta menjejaki suspek dalam operasi yang diketuai Ahmad Lutfi.

Menurut Mohd. Hafiz, pihaknya menerima laporan adik mangsa pada 12 Ogos lalu kerana menerima panggilan daripada dua lelaki Pakistan yang tidak dikenali meminta wang berjumlah RM100,000 serta memaklumkan abangnya ada bersama mereka.

“Berpandukan panggilan telefon itu, risikan dilakukan lebih dua hari, malah ada anggota yang menyamar sebagai tukang sapu serta pekerja kedai minyak bagi menjejaki suspek.

“Pada hari ketiga, dua warga Pakistan dipercayai suspek berjaya diberkas di Jalan Ipoh. Pada mulanya kedua-duanya tidak mengaku, malah enggan bekerjasama serta tidak mahu membawa kami ke tempat tinggal mereka,” katanya.

Jelas Murugan, mereka menggunakan kaedah psikologi dengan memujuk suspek serta bertanyakan pelbagai soalan sehingga berjaya memerangkapnya.

Tambahnya, suspek mengaku menculik dan membunuh mangsa pada 15 Ogos lalu sebelum memasukkan mayat ke dalam kotak dan mengikatnya menggunakan tali sebelum membuang ke sungai.

“Dengan dipandu oleh suspek, pihak kami berjaya menemukan mayat mangsa di sungai berdekatan Taman Perindustrian Kepong, Bandar Sri Damansara. Kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa.

“Kami hanya sempat tidur selama dua hingga tiga jam demi menyelesaikan kes tersebut,” jelasnya.