Walaupun latihan dan peranan mungkin agak berbeza di barisan hadapan, anggota simpanan tetap bersemangat meneruskan apa jua latihan dan arahan tanpa mengira perbezaan latar belakang masing-masing.

Malah, Pengarah Unit Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kepten Ismail Othman berkata, proses pengambilan anggota simpanan baharu akan diteruskan sepanjang tahun tanpa menetapkan jumlah sasaran tertentu.

Menurutnya, kini apa yang penting adalah mengekalkan kualiti dan kuantiti setiap anggota sejak hari pertama mereka melapor diri sehingga berjaya ditauliahkan, di samping aktif dengan unit simpanan masing-masing.

“Sebelum ini banyak anggota yang tidak aktif dan hanya menjalani latihan separuh jalan. Sebab itu kita merangka beberapa pelan tertentu termasuk  mewujudkan pelbagai program latihan dan kursus bagi anggota PSSTLDM, sekali gus dapat membantu anggota tetap terutama di kapal-kapal milik TLDM.  

“Selain itu, mereka juga tidak mempunyai halangan untuk mengikuti apa jua kursus sebagaimana anggota tetap  termasuk kursus asas komando Pasukan Khas Laut (Paskal) atau kursus risikan. 

"Oleh itu, laluan kerjaya sebagai anggota simpanan cerah dan mempunyai masa depan, lebih-lebih lagi jika meminati kerjaya ketenteraan dan sukakan cabaran,” katanya ketika mengadakan lawatan dan sesi dialog bersama pelatih kursus Induksi Fasa 1 Pegawai PSSTLDM  di Kapal Diraja Seri Klang (KDSK) baru-baru ini.

Sebanyak 39 pelatih terlibat dalam kursus pertama yang bermula pada 23 sehingga 28 Oktober itu.

Pelbagai aktiviti dirangka sepanjang tempoh tersebut antaranya jalan lasak, latihan renang, menembak dan pelajaran kawad kaki.

Tambah Ismail, pasukan simpanan itu juga tidak menetapkan angka khusus jumlah anggota bagi setiap sesi pengambilan sama ada bagi pelajar di institusi pengajian tinggi atau dalam kalangan orang awam.

Katanya, apa yang penting adalah kualiti dan juga pengorbanan anggota untuk menjalani latihan, di samping mengekalkan jumlah anggota sedia ada.     

Dalam pada itu, rata-rata peserta kursus yang merasai pengalaman pertama menjalani latihan ketenteraan dalam kursus itu menyifatkan ia sebagai sesuatu yang menarik walaupun mencabar ketahanan fizikal dan mental terutama ketika menjalani latihan jalan lasak.

Peserta juga dilayan sama rata tanpa mengira latar belakang dan umur masing-masing, termasuk mereka yang datang daripada golongan profesional.

Bagi Pegawai Staf KDSK, Leftenan Muhammad Nur Ariffin Rahmat, setiap pelatih perlu menjalani latihan sebanyak enam fasa sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.

“Mereka akan mengikuti pelbagai kursus selepas ini di pusat latihan lain termasuk di KD Sultan Idris I, Pangkalan TLDM Lumut, Perak. Apa yang diharapkan adalah kerjasama mereka dalam satu ‘intake’ harus dipertingkat dan dikekalkan sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta kursus, Aires Goh Yea Khoon, 25, berkata, peluang menjalani kehidupan ala tentera walaupun hanya seminggu merupakan medium terbaik menyelami gaya hidup dan budaya anggota keselamatan.

“Pelbagai perkara yang kami pelajari seperti peningkatan aspek disiplin, kepimpinan dan bekerja dalam satu pasukan. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dan gembira menyertai kursus ini dan sedia dikerahkan demi negara seiring dengan moto TLDM, Sedia Berkorban.

“Selain itu, apa yang menyeronokkan, kami dilayan sama rata. Sebagai salah seorang peserta berbangsa Cina, saya sangat menggalakkan rakan-rakan menyertai PSSTLDM,” ujarnya.

Dalam pada itu, T. Teeban berkata, walaupun berasa penat, ramai rakan banyak membantu ketika dia mengikuti latihan terutama aspek ketahanan mental.

“Kursus ini agak lasak dan banyak perkara saya pelajari. Sebagai contoh, semangat setiakawan, pengurusan masa dan disiplin kawad. 

"Kami juga turut berpeluang menunjukkan bakat dan meningkatkan pengetahuan dalam bidang pelayaran. Terima kasih kepada TLDM yang memberi peluang berharga ini,” ujarnya.