Begitulah keresahan dirasai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Timbalan Penguasa Bomba Ariff Mohamed Kassim tujuh tahun lalu ketika menjalankan operasi berbahaya yang dirahsiakan bagi mengelakkan panik kepada orang ramai.

Menceritakan kembali detik mendapat arahan untuk memindahkan bahan kimia asid pikrik yang telah bertukar menjadi pepejal dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, Ariff yang ketika itu merupakan Ketua Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah mengaku perasaannya menjadi kosong beberapa saat.

“Asid pikrik ini langsung tidak berbahaya apabila berada dalam bentuk cecair, namun apabila telah bertukar menjadi seperti kristal, bergesel sedikit pun letupannya boleh dirasai dalam radius 100 meter, apatah lagi saya yang terpaksa membawanya sejauh lebih 48 kilometer ke Batu Arang, Rawang, Selangor untuk dilupuskan.

“Namun, selepas berbincang secara terperinci dengan pakar di samping membuat persediaan secara maksimum, saya dan seorang lagi pakar Hazmat, Datuk Zulkarnain Mohd. Kassim diarah supaya memindahkan bahan berbahaya itu pada pagi subuh hari Sabtu, 4 Jun 2011, secara senyap, tanpa disebarkan kepada umum,” ceritanya kepada Mega Wira.

Menurut Ariff, perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa sejam dari IMR ke Kompleks Persenjataan Pusat Sains Dan Teknologi Pertahanan Bahagian Teknologi Pertahanan (Stride), di Batu Arang, Rawang itu dirasakan terlalu lama.

Konvoi 12 kenderaan yang turut disertai pasukan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia itu bergerak perlahan bagi mengelak segala lubang dan gegaran berikutan bimbang berlaku pergeseran.

“Kira-kira 30 minit pertama perjalanan, saya dan Zulkarnain hanya diam dan hanya tumpu pada jalan raya kerana masih berada dalam kawasan bandar.

“Sebaik sahaja memasuki lebuh raya, kami mula berborak dan berseloroh supaya kebimbangan dapat dilupakan seketika, namun apabila memasuki kawasan perkampungan, kami diam semula,” katanya sambil tersenyum mengenangkan betapa nyawanya pada ketika itu betul-betul seperti ‘telur di hujung tanduk’.

Ujar Ariff, selepas bahan kimia itu berjaya dipindahkan dan dilupuskan, beliau menerima penghargaan daripada IMR dan terus mendapat permintaan untuk melupuskan asid berbahaya tersebut.

Jelasnya yang menyertai pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat sejak 1997, keberanian bukanlah bermakna tiada langsung rasa takut, namun ia perlu bertempat dan apa yang lebih penting biarlah ia mampu mendatangkan manfaat kepada manusia sejagat.

“Saya amat kesal apabila konsep berani ini disalahgunakan terutama oleh anak muda yang sanggup bergadai nyawa mengejar bahaya seolah-olah ia langsung tiada harga.

“Sebagai contoh, di Bukit Tabur, Hulu Klang, sejak saya menjadi ketua balai, lebih 30 kes direkodkan di sana termasuk yang melibatkan kematian. Walaupun bukit tersebut telah ditutup oleh Jabatan Perhutanan berikutan risiko berlaku kemalangan yang tinggi, ada yang jatuh tersembam dari semalam, keesokannya baru ditemukan, ada yang jatuh dari ketinggian 60 meter dan mengalami kecacatan kekal, namun masih ramai yang berdegil, kononnya atas nama keberanian,” ujarnya.