Itu antara operasi menarik yang pernah dijalankan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul.

Ketua Balai BBP Sentul, Timbalan Penguasa Bomba, Mohd. Hafizan Hassan berkata, pasukannya menerima panggilan kejadian kira-kira pukul 10 pagi daripada orang awam.

Kata beliau, walaupun dilihat remeh, operasi menyelamatkan haiwan lebih mencabar berbanding manusia kerana mereka tidak boleh berinteraksi dengan haiwan tersebut.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kami mendapati anak anjing tersebut berada atas bangkai jengkaut serta berbunyi seakan meminta diselamatkan.

“Seorang pegawai kemudian ditugaskan mengambil anak anjing itu dengan menggunakan tangga, jaket keselamatan dan tali,” katanya ketika ditemui Mega Wira di BBP Sentul baru-baru ini.

Menurut Mohd. Hafizan, proses menyelamat perlu dilakukan dengan pantas bagi mengelakkan anak anjing tersebut melompat atau lemas di dalam lombong.

Jelasnya, dengan kepakaran anggota bertugas, anak anjing itu berjaya diselamatkan tidak sampai 10 minit.

“Operasi menyelamat haiwan bukan sahaja tertumpu di kawasan sungai atau lombong, malah kami juga pernah menyelamatkan anjing yang terperangkap di bangunan kondominium di Jalan Ipoh,” jelasnya.

Mohd. Hafizan turut menceritakan pengalamannya dalam operasi memadam kebakaran bengkel motosikal di Jalan Sentul yang seorang mangsa ditemukan rentung manakala tiga lagi melecur.

Kata beliau, kejadian berlaku pada 31 Julai lalu apabila pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kebakaran tersebut pada pukul 8.25 malam.

Menceritakan pengalaman itu, beliau memberitahu, apabila pasukannya tiba di lokasi kejadian, didapati api telah marak di tingkat bawah dan membakar keseluruhan lantai.

“Kejadian itu juga hampir membakar keseluruhan tingkat atas dan terdapat dua orang mangsa berada di tingkat tiga bangunan tersebut melambai meminta bantuan.

“Api marak serta asap tebal menyukarkan kami menyelamatkan mangsa dari dalam bangunan. 
Apa yang kami lakukan adalah menggunakan tangga jentera bagi membawa kedua-dua mangsa turun,” ujarnya.

Tambah Mohd. Hafizan, setiap hari, pihaknya sekurang-kurangnya menerima satu kes untuk apa jua operasi di sekitar kawasan Sentul.

“Sepanjang 2018, kami telah menerima kira-kira 279 panggilan kecemasan melibatkan pelbagai kes,” ujarnya.

Disangka mati, rupanya tertidur

MENGELUARKAN seorang lelaki yang disangka mati dan terperangkap di dalam kereta merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan Pegawai Bomba Kanan II, Fadil Hesam Mohamed.

Menceritakan pengalaman sewaktu bertugas di BBP Hang Tuah, Fadil Hesam berkata, kejadian berlaku apabila pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai sebuah kereta Toyota Vellfire yang tidak bergerak di lampu isyarat berhampiran Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, beliau mendapati terdapat seorang lelaki berada di kerusi pemandu kereta berkenaan.

“Saya mengetuk tingkap beberapa kali, namun tiada tindak balas. Kami cuba membuka kunci menggunakan kad tetapi sistem keselamatan kereta tersebut agak canggih.

“Yang paling merisaukan apabila kami dapati kaki lelaki tersebut berada di brek, jadi kami perlu pastikan dia tidak melepaskan brek itu. Kalau dilepaskan mungkin kereta akan bergerak sendiri atau melanggar kenderaan lain,” katanya.

Menyambung ceritanya Fadil Hesam memberitahu, apa yang dilakukan adalah dengan memecahkan cermin kereta tersebut menggunakan alatan khas.

“Apabila kenderaan itu berjaya dibuka, saya terus memeriksa keadaan lelaki berkenaan dan mendapati dia masih hidup. Saya merenjis air ke mukanya dan dia terjaga. Rupanya dia terlalu penat dan tertidur,” jelasnya.

Fadil Hesam yang telah berkhidmat dalam pasukan bomba sejak 20 tahun lalu berkata, pengalaman mencari dan menyelamat mangsa lemas di Sungai Klang berhampiran pusat beli-belah Midvalley antara yang menarik pernah disertainya.

Katanya, ini kerana beliau terpaksa berhadapan dengan mayat hampir reput sehingga kulit tangan tanggal. Ketika itu beliau ditugaskan mencari mangsa yang lemas lebih 24 jam dan apabila ditemukan, beliau cuba menarik mayat tersebut.

“Saya terpegang tangannya dan terkejut apabila kulit tangannya tertanggal seperti sedang membuka sarung tangan,” ujarnya.