MOHD. AZRUL HAKIMI
MOHD. AZRUL HAKIMI 

Aset baharu ini yang ditauliahkan pada April 2018 sebenarnya telah melonjak keupayaan angkatan laut selangkah ke hadapan dalam aspek latihan dan rondaan keselamatan perairan negara.

Pembinaan KD Teguh Samudera iaitu ‘adik’ kepada KD Gagah Samudera berjaya menjadi salah satu ‘pusat latihan’ terpenting kepada anggota dan pegawai TLDM, selain daripada KD Pelandok dan KD Sultan Idris (KDSI).

Apa yang membanggakan, kapal baharu itu telah berjaya melatih seramai 131 pegawai dan anggota yang menjalani latihan praktikal serta kemahiran di samping melatih pasukan simpanan sukarela TLDM (PSSTLDM).

MOHD. FIRD AUS ARB AIN
MOHD. FIRD AUS ARB AIN 

Pegawai Memerintah KD Teguh Samudera, Komander Mohd. Azrul Hakimi Azmi berkata, selain sebagai platform latihan, kapal ini turut memainkan peranan lebih besar dengan mengadakan aktiviti lain mengikut keperluan dan arahan.

Katanya, antara aktiviti lain yang diadakan termasuk penyertaan dalam acara perbarisan armada atau dikenali sebagai ‘fleet review’, penghantaran logistik ke Pulau Jarak dan penyertaan dalam siri latihan lain seperti ‘Ostex’ dan ‘Passex’ serta latihan bersama unit lain iaitu Pasukan Khas Laut (Paskal) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Fungsi kapal tersebut tidak terhad kepada latihan samata-mata. Kita turut membantu melaksanakan penugasan rondaan maritim di perairan negara yang tertumpu di kawasan Selat Melaka pada masa-masa tertentu.

“Peluang itu turut kita gunakan untuk kapal melaksanakan latihan semasa tugas rondaan di samping memberi peluang kepada pelatih untuk didedahkan kepada pelaksanaan operasi TLDM yang sebenar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Mohd. Azrul Hakimi, KD Teguh Samudera akan turut terlibat dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) pada Mac nanti sebagai kapal platfotm Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam acara ‘fleet review’.

“Saya berharap kapal ini dapat mendukung misi dan visi Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan (MPPL) untuk melatih pegawai dan anggota TLDM secara praktikal di laut dengan cemerlang dan selamat sebagai platform latihan yang efektif,” jelasnya.

Selain latihan yang dilaksanakan sebelum ini, KD Teguh Samudera juga telah memperkenalkan latihan baharu antara Skuadron Kapal Latihan TLDM iaitu ‘Training Vessel Excersice (Travex) bermula akhir 2018.

Dalam pada itu, Pegawai Laksana KD Teguh Samudera, Leftenan Komander Mohd. Firdaus Arbain berkata, kapal berkenaan akan menambah tempoh masa pelayaran bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam kalangan pelatih termasuk menentukan arah pelayaran atau navigasi menerusi ilmu falak.

“Selain itu kita akan fokus pada latihan ‘Royal Malaysian Navy Training Cruise’ (RMNTC) melibatkan kapal ini dan KD Gagah Samudera. Malah, kami kini dalam perancangan untuk belayar dan singgah di lima pelabuhan luar negara.

“Pelayaran seperti ini merupakan peluang terbaik kepada pelatih untuk menambah ilmu pengetahuan mereka,” ujarnya.