Itu antara misi penting setiap anggota 69 Komando atau VAT 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Setiap anggota yang diiktiraf dan layak bergelar trooper 69 Komando itu sentiasa memegang amanat tersebut.

Bukan sesuatu yang mudah bergelar trooper 69 Komando yang bermula dari permulaan fasa pemilihan awal. Setelah lulus ujian pemilihan awal, mereka yang terpilih akan mengikuti kursus asas komando dikendalikan oleh Cawangan Latihan Peperangan Khas (CLPK) diketuai oleh ASP Latihan CLPK, Rezuan Juragan dan dibantu jurulatih-jurulatih CLPK yang berpengalaman.

Latihan itu akan berjalan selama hampir lima bulan. Pelbagai fasa harus diharungi bagi mereka yang mengikuti kursus asas komando. Bermula fasa pertama dengan latihan di peringkat kem, hutan belantara, paya bakau, laut, pengkhususan kemahiran dalam kumpulan kecil dan diakhiri dengan final mission execution.

Setelah lulus dan berjaya dalam kursus asas komando, trooper perlu menguasai dan mengharungi pengkhususan wajib antaranya rappelling/abseiling, dikuti close quarter battle (CQB), payung terjun, selam tempur, bodyguarding dan seni mempertahankan diri.

Pelbagai kursus lanjutan kemahiran pengkhususan pilihan boleh dipilih oleh trooper 69 Komando selepas selesai kursus yang wajib.

Yang pasti anggota perlu memiliki kemahiran sama ada di daratan, lautan (air) mahupun udara. Ini termasuk dari segi penggunaan senjata, taktik dan teknik serta peralatan lain (khas) yang terkini.

Kursus Asas Selam Taktikal antaranya perlu melepasi pelbagai rintangan dalam modul kursus selam taktikal tempur berteraskan waterbourne operation termasuk renang tempur sejauh 3.2 kilometer mengikut jangka waktu ditetapkan.

Terkini, seramai 31 trooper 69 Komando menyertai Kursus Asas Selam Taktikal Siri 1/2019 dengan diselia oleh Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd. Yusoff serta dibantu Pegawai Latihan Cawangan Para, Asisten Superintenden (ASP) Shahar Omar.

Kursus selam taktikal ini dilaksanakan berterusan mengikut modul selam taktikal 69 Komando yang tidak memberi ruang para anggota ‘berehat’ walaupun seketika dan ini dilihat begitu mencabar tidak seperti selam skuba awam atau rekreasi.

Semua ini bagi menguji ketahanan mental dan fizikal trooper. Tidak hairanlah anggota boleh digerakkan sama ada di hutan, bandar atau sebarang lokasi serta situasi di mana tiada limitasi bagi unit 69 Komando dalam menyelesaikan misi diamanahkan.

Kursus asas selam taktikal itu kian mencabar apabila setiap anggota perlu menjalani latihan helo-casting dengan bantuan helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU), boat-casting serta lain-lain bagi tujuan mempelbagaikan kaedah insertion dan penyusupan dalam waterbourne operation.

Helo-casting memerlukan trooper 69 Komando terjun dari udara menggunakan helikopter yang bergerak. Penerjunan dilakukan dengan trooper terbabit lengkap berpakaian skuba bersama peralatan selam tempur.

Bagi boat-casting pula, anggota terbabit yang lengkap berpakaian selam tempur akan ‘dibuang’ atau digugurkan dari bot yang bergerak laju.

Sepanjang latihan itu juga memperlihatkan trooper Diver Medical Assistant (DMA) medik (perubatan) 69 Komando sentiasa diletakkan dalam siap siaga bagi membantu dan menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku sepanjang kursus berjalan.