MUKHRIZ TUN MAHATHIR
MUKHRIZ TUN MAHATHIR 

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, khabar gembira itu diumumkan Kementerian Hal Ehwal

Ekonomi dan Kementerian Kewangan melalui sepucuk surat kepadanya minggu lepas.


Katanya, projek berkenaan adalah pembinaan Dewan Serbaguna di Pokok Sena dan pembinaan semula Masjid Muadzam Shah dan dewan serta kerja-kerja berkaitan di Kuala Nerang.


“Selain itu peruntukan tambahan khas bagi menyempurnakan sebuah dewan orang ramai di Taman Gurun Jaya, Gurun.


“Pelaksanaan kerja-kerja tanah runtuh di Taman Selasih, Kulim dan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf masjid dan surau di Negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Mukhriz menambah, turut diluluskan ialah pembinaan sebuah masjid di Changlun, pembinaan semula Masjid Kampung Tong Pelu, Pedu dan pembinaan Kompleks Perniagaan/Bazar di Sungai Petani serta kerja-kerja baik pulih Masjid Permatang Gedong di Kuala Muda.


“Kementerian Kewangan pula meluluskan Projek “Off-River Storage” (ORS) Sungai Merbok, membina menara tangki dan menggantikan paip air di Merbok dan Tanjung Dawai dan kerja-kerja baik pulih Masjid Al-Fateh di Bandar Baharu,” katanya.


Mukhriz memberitahu, projek-projek yang diluluskan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan menggunakan peruntukan Projek Khas Unit Perancang Ekonomi yang akan disalurkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.


Katanya, projek baik pulih Masjid Al-Fateh di Bandar Baharu pula diselaraskan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah.


“Kesemua 11 projek ini akan dilaksanakan secara tender terbuka dalam memberikan nilai faedah terbaik dan penjimatan selaras dengan tatacara perolehan semasa yang berkuat kuasa tanpa menjejaskan kualiti kerja,” katanya.


Muhkriz berkata, bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat, pihaknya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khasnya Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di atas perhatian dan keprihatinan terhadap keperluan masyarakat.


“Semestinya, keputusan-keputusan tersebut mengambil kira pelbagai perkara, terutamanya memandangkan projek-projek tersebut bersifatkan peduli rakyat dan mensejahterakan masyarakat.

“Saya yakin kesemua projek ini dan projek-projek lain yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan memberi manfaat besar kepada rakyat dan menjamin kemakmuran negeri Kedah,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE