Ketua Jurulatih Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Leftenan Kolonel Zorkeflee Hassan berkata, kebiasaannya masa yang diambil untuk melatih anggota GGK sebelum mampu melaksanakan sebarang misi adalah selama dua tahun.

Katanya, dalam tempoh tersebut, anggota akan mengikuti kursus asas komando selama tiga bulan, asas payung terjun dua bulan, kursus kepakaran Gerak Khas (CQB/penembak tepat/amfibia) tiga bulan dan kursus-kursus lain.

“Secara umumnya, selepas menamatkan kursus asas komando, setiap jurulatih akan mengenal pasti potensi anggota untuk diserapkan kepada unit-unit kecil seperti Rejimen 22 Komando; 11 RGK dan 21 Komando. Setiap unit ada peranan tersendiri. Contohnya unit Rejimen 22 Komando ditugaskan untuk kepakaran amfibia seperti perenang dan penyelam tempur.

“Selain itu, anggota GGK juga diberi peluang untuk memilih kepakaran sama ada di darat, laut atau udara. Walaubagaimanapun, ia bergantung kepada kelayakan, penugasan semasa pasukan dan atur gerak operasi. Apa yan pasti kursus asas payung terjun kursus wajib selepas kursus asas komando,” katanya ketika di temui Mega Wira di Kem Sungai Udang baru-baru ini.

Tambah Zorkeflee, seseorang anggota yang lulus kursus asas komando sememangnya mempunyai kriteria yang diperlukan oleh unit-unit dalam GGK sama ada untuk Rondaan Kumpulan Kecil (RKK); Unit Lawan Keganasan (ULK) atau Penyelam Tempur.

Dalam pada itu, Jurulatih Kanan GGK, Staf Sarjan Edykurniawan Sharif berkata, anggota yang menjalani kursus asas komando GGK juga akan dinilai daripada hari pertama mereka melapor diri di Pulpak.

“Anggota tentera yang datang dari pelbagai unit akan diuji bukan hanya sekadar ketahanan mental dan fizikal, tetapi sikap mereka dalam menerima arahan, semangat setia kawan dan juga cara menghadapi tekanan.

“Ada pelbagai ragam pelatih terutama apabila melihat pintu gerbang yang tertulis ‘Kedatanganmu tidak diundang, jika ragu-ragu boleh pulang’.Yang pasti, masuk GGK perlu minat, bukan hanya sekadar mahu mencuba nasib,” ujarnya.