Kolonel Tadbir Berita Tentera Darat, Zulkifli Tahir, 58, tidak akan melupakan kejadian tragis yang menimpanya sehingga mengakibatkan beliau hilang anggota kaki kanan akibat terpijak jerangkap samar sewaktu Operasi Tak Sin di Gubir, Kedah pada 1986.

Bercerita tentang tragedi hitam itu, Zulkifli yang menceburi bidang ketenteraan pada usia 19 tahun tidak sedikit pun menjangka dirinya menjadi mangsa kekejaman komunis. Ketika kejadian, Zulkifli menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Platun Tinjau Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD).

“Kejadian berlaku pada pukul 7.15 pagi. Saya baru dua bulan berkahwin. Saya dan beberapa anggota ditugaskan bagi persediaan menghadapi serangan komunis yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Sejak awal lagi, saya merasakan seperti ada yang tidak kena dengan laluan yang bakal kami ambil untuk berdepan musuh.

“Oleh kerana itu, saya dan beberapa anggota memutuskan untuk memeriksa laluan tersebut,” katanya kepada S2 ketika ditemui di Pangkalan Tentera Udara Subang Jaya baru-baru ini.

Mengatur langkah penuh cermat, dengan keberanian yang tinggi, Zulkifli dan rakan-rakan sepasukan mula memeriksa laluan di hadapan dengan penuh berhati-hati.

“Secara tiba-tiba, tanpa sebarang amaran..., berlaku satu letupan yang cukup kuat sehingga mencederakan salah seorang anggota tentera yang berada di belakang saya,” katanya tanpa menyedari beliau juga sebenarnya turut cedera parah.

Bercerita lanjut, Zulkifli memberitahu, ketika itu dia tidak menyedari dia telah terpijak jerangkap samar dan langsung tidak merasa sakit.

“Saya hanya sedar diri tercedera setelah seorang anggota tentera berpangkat Sarjan memberitahu kaki kanan saya mengalami kecederaan yang terlalu teruk.”

“Saya masih ingat lagi dialog antara saya dengan Sarjan itu, selepas letupan berlaku.”

Sarjan: “Tuan...,tuan..., relaks, jangan bergerak.”

Zulkifli: Pasal apa?

Sarjan: Tuan kena...

Zulkifli: Bukan saya kena....Arif kena

Sarjan: Tuan yang kena...,tengok badan tuan...cedera teruk

Zulkifli: Tak apa...,ini tempek iodin...ok lah ni

Sarjan: Tuan tengok kaki...itu kaki siapa (sambil tunjuk ke satu arah). Tuan..., angkat kaki...tuan banyak bersabar ya...angkat kaki...dah hancur

“Saya masih ingat lagi, keadaan kaki saya ketika itu hancur dan berlumuran darah. Ia satu pengalaman yang cukup ngeri dan tidak boleh dilupakan,” tambahnya.

Selepas kejadian itu, timbul persoalan dalam fikiran anak jati Kuala Lumpur ini, kenapa dirinya menerima nasib sedemikian rupa.

Namun, berbekalkan semangat yang kental, beliau meneruskan kehidupan dan tidak sesekali menganggap kecacatan kekal yang dialami sebagai penghujung kehidupan.

Zulkifli membuktikan sehingga kini, beliau masih mampu berkhidmat dalam bidang ketenteraan meskipun terpaksa menggunakan kaki palsu untuk berjalan.

“Saya masih mahu terus berkhidmat. Selepas enam bulan terlantar di hospital akibat tragedi tersebut, saya masuk semula ke hutan untuk menjalankan tugas.

“Saya beritahu kepada diri sendiri, perlu reda dengan ketentuan Allah dan buktikan kepada isteri dan anak-anak bahawa saya masih boleh bekerja,” tambahnya.

Lebih membanggakan lagi, Zulkifli menjadikan kekurangan yang dialaminya sebagai pencetus keinginan untuk memperbaiki diri.

“Dahulu saya tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi.

“Selepas tragedi itu, saya berazam untuk memperbaiki diri. Pendidikan adalah antara dua perkara yang saya tumpukan.

“Alhamdulillah atas sokongan ATM, saya kini sudah memiliki ijazah sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan dari Universiti Brunel, London,” jelasnya.