Itu antara keperitan yang perlu ditempuhi setiap pelatih Kursus Asas Komando Pasukan Khas Laut (Paskal) sebelum layak memakai beret ungu, salah satu kemegahan setiap anggotanya.

Malah, pelatih turut melalui pelbagai latihan yang mungkin dianggap melampaui batas manusia untuk menjadi anggota komando yang benar-benar mantap dan mampu diatur gerak sama ada melalui darat, udara mahupun air.

Setiap pelatih yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan ditapis dengan ketat terlebih dahulu dalam ujian pemanasan selama sebulan sebelum layak ke peringkat seterusnya.

Dalam tempoh ini, mereka akan diuji dengan latihan seperti berenang dan berlari tanpa mengira siang atau malam mengikut tempoh yang ditetapkan demi memastikan kecergasan pada tahap maksimum.

Sebaik sahaja tamat tempoh berkenaan, barulah pelatih memasuki fasa seterusnya iaitu peringkat kem, paya, laut dan hutan. Mereka turut diuji dengan pelbagai ‘penderaan’ lain untuk menguji tahap ketahanan mental serta fizikal.

Selain itu, pelatih turut diajar dengan ilmu peperangan, latihan ikhtiar hidup, teknik berenang dengan kaki serta tangan diikat atau dikenali sebagai ‘down proofing’ serta latihan tempur tanpa senjata.

Apa yang pasti, latihan yang dilalui sepanjang tempoh tersebut benar-benar menyeksakan. Tidak hairanlah jumlah jurulatih lebih ramai berbanding pelatih dalam siri kursus sebelum ini.

Bagi pelatih terbaik, Laskar Kelas II Muhd.Anas Najmudin Rozali, 20, selain tidak tidur sepanjang tiga hari dalam latihan yang dikenali sebagai ‘Hell Week’ itu, dia juga terpaksa menahan lapar dan dahaga di peringkat paya.

“Fasa paya merupakan antara latihan paling mencabar. Kami hanya berseluar tanpa makanan dan minuman selama beberapa hari. Di sinilah kami diuji untuk menyesuaikan diri dan berdikari mencari makanan sendiri dengan mempraktikkan latihan ikhtiar hidup.

“Apa yang boleh dimakan dan sesuai, kami jadikan hidangan. Yang penting ada tenaga untuk meneruskan latihan di peringkat yang seterusnya nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Anak kelahiran Perlis ini merupakan 65 daripada 240 pelatih Kursus Asas Komando Paskal yang lulus dalam tempoh menjalani latihan selama empat bulan di Pangkalan TLDM Lumut.

Daripada jumlah tersebut, seorang ialah peserta dari Tentera Laut Bangladesh, enam anggota Pasukan Simpanan Sukarela (PSSTLDM) dan seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Dalam majlis yang sama juga, seorang peserta kursus kali ini berjaya menyambung legasi bapanya yang pernah berkhidmat sebagai anggota Paskal.

Laskar Kelas II Muhamad Azam Zahran Ahmad Sazili, 20, berkata, bapanya, Leftenan Komander (B) Ahmad Sazili Abdul Mutalib, 47, merupakan sumber inspirasi untuknya berjaya dalam kursus itu terutama selepas melihat secara dekat peranan Paskal sejak dari kecil.

Katanya, bapanya juga turut memberi galakan dan mahu dia meneruskan kursus tersebut walaupun terpaksa berkorban masa dan keluarga.

“Menjadi Paskal adalah minat saya sejak darjah enam selepas melihat keupayaan dan kehebatan mereka. Bapa kadang-kala membawa saya ke tempat latihan dan melihat sendiri keupayaan serta ketangkasan mereka.

“Dari situ timbulnya minat. Walau apa pun, bapa juga ada berpesan apabila berkhidmat sebagai anggota tentera dan menjadi komando, negara yang pertama dan keluarga di tempat kedua. Semua ini merupakan pengorbanan terbesar anggota,” jelasnya.