Peranan Unit K9, Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah lama wujud di negara ini dengan pembelian tiga anjing jenis Labrador pada 1957 apabila digunakan oleh The Police Field Force (PFF) atau kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA).

Kini, anjing pengesan K9 banyak membantu PDRM dalam tugas-tugas membanteras jenayah melibatkan dadah, senjata api, bahan letupan, mengawal perhimpunan jaga aman, mengesan dan mencari orang hilang, mengesan mayat dan darah serta melakukan pemeriksaan keselamatan ‘flushing’.

Tidak keterlaluan jika kita katakan anjing pengesan K9 mampu mengesan apa jua bau atau benda yang manusia tidak mampu.

Menceritakan lanjut mengenai pasukan tersebut, Ketua Unit K9, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Deputi Superintenden M. Saravanan berkata, unit itu sekarang mempunyai 87 ekor anjing jenis Labrador, German Shepherd dan Belgian Shepherd dengan kekuatan lima Pegawai Kanan Polis, tujuh anggota polis (jurulatih) dan 128 anggota polis (pemegang anjing pengesan K9) di seluruh Malaysia.

Menurut beliau, setiap anjing mempunyai tugasan yang berbeza kerana jenis-jenis baka haiwan itu mempunyai ciri-ciri tersendiri.

Jelasnya, German Shepherd selalu digunakan untuk tugasan jenayah kerana ketangkasan, kepintaran dan saiznya yang agak besar manakala Belgian Shepherd pula amat sensitif dengan keaaan sekeliling.

“Anjing jenis Labrador pula digunakan dalam mengesan dadah dan bahan letupan kerana deria baunya yang sangat kuat dan tepat.

“Anjing-anjing ini dibeli ketika haiwan itu berusia setahun hingga dua tahun dan kami akan melatihnya selama 16 minggu di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur bersama pemegang sehingga haiwan itu mahir dalam tugasan yang dipertanggungjawabkan,” katanya ketika ditemui di Unit K9 di Pulapol, baru-baru ini.

Dalam pada itu Saravanan berkata, anjing pengesan K9 PDRM mempunyai empat fungsi iaitu anjing pengesan cadaver, anjing pelbagai guna (GPD), anjing pengesan narkotik dan anjing pengesan bahan letupan.

Menurut beliau, anjing cadaver ditugaskan mencari mayat, rangka atau saki baki badan manusia yang terlibat dalam sesuatu kejadian jenayah.

Saravanan menjelaskan, anjing pelbagai guna (GPD) berfungsi untuk mengesan penjenayah, barang kes dan orang hilang.

“Anjing GPD juga digunakan ketika kawalan orang ramai serta pengiring operasi bagi acara-acara tertentu.

“Fungsi anjing pengesan narkotik adalah mampu mengesan dadah yang disorokkan oleh suspek atau di tempat-tempat yang sukar dikesan manakala anjing pengesan bahan letupan dan senjata api pula digunakan untuk mencari bahan letupan atau melakukan flushing,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut menurut Saravanan, setiap anjing yang digunakan mempunyai jangka hayat purata sehingga usia 11 tahun.

Katanya, sekiranya anjing pengesan K9 tidak mampu lagi menjalankan tugas atau jatuh sakit, Unit K9 sendiri akan menjaga anjing-anjing tua itu sehinggalah mati.

“Kami akan simpan di sini (Unit K9 di Pulapol) selepas ia bersara serta menjaganya kerana itu merupakan satu penghormatan yang kami dapat berikan atas sumbangannya terhadap pasukan ini,” katanya.