Bagi mereka, peluang berkunjung ke pangkalan tentera laut yang terbesar dalam armada TLDM itu bukan selalu.

Begitu juga keletah anak-anak kecil yang teruja melihat anggota TLDM berpakaian seragam lengkap selain dapat memegang pelbagai jenis senjata api yang dipamerkan di gerai pameran.

Demikian antara keghairahan pengunjung pada Hari Terbuka Armada 2019 (HTA ’19) yang dianjurkan bersempena menyambut ulang tahun TLDM ke-85 baru-baru ini.

Kelekaan orang ramai bagaimanapun terganggu apabila secara tiba-tiba muncul sebuah helikopter Super Lynx berlegar-legar di udara.

Dalam hanya beberapa minit, kelihatan lima anggota berpakaian seragam hitam lengkap bersenjata meluncur turun secara ‘abseiling’ di atas bumbung bangunan Markas Armada Barat.

Mereka adalah sebahagian daripada anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) yang mempamerkan demonstrasi menyelamatkan tebusan. Aksi-aksi yang mereka pamerkan tidak ubah seperti dalam filem aksi pertempuran.

“Saya kagum dengan pasukan khas ini setelah menonton filem aksi ketenteraan, Paskal tahun lalu.

“Bagi saya filem itu berjaya mempamerkan ke­perwiraan anggota Paskal yang diterjemahkan di layar perak.

“Selain melihat kapal-kapal perang, saya hadir ke sini bagi melihat lebih dekat pasukan Paskal,” ujar Ahmad Danial Saufi, 34.

Dia yang hadir bersama keluarga memberitahu, penganjuran program seperti HTA membuka minda masyarakat untuk mengetahui lebih jelas fungsi serta peranan TLDM.

“Melihat sendiri kehebatan anggota Paskal melakukan demonstrasi di depan mata ternyata berbeza berbanding menonton menerusi media sosial,” ujar Ahmad Danial.

Bertemakan ‘Armada Siaga, TLDM Perkasa’, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, HTA menjadi acara utama yang dinantikan oleh masyarakat setempat.

Tahun ini konsep yang diketengahkan adalah lebih santai dan lebih mengutamakan kepelbagaian yang mampu mempamerkan keupayaan serta kemahiran warga ‘Navy People’ serta aset-aset TLDM.

Pasukan kawad senyap TLDM juga tidak ketinggalan mempamerkan persembahan mengagumkan apabila berjaya menarik perhatian masyarakat dengan persembahan lincah, kemas dan teratur.

Perasaan teruja turut dikongsi pelajar kolej swasta, Nur Farhana Ismail, 20, apabila dapat melihat kelengkapan persenjataan TLDM termasuk peluru berpandu dan torpedo yang dilengkapkan pada kapal perang.

Baginya, bukan menjadi kelaziman bagi orang awam sepertinya untuk datang ke Pangkalan TLDM Lumut. Pada hari tersebut mereka berpeluang melawat kapal-kapal perang seperti KD Jebat, KD Tan Pusmah, KD Muhammad Amin dan KD Mahawangsa.

Menarik kali ini TLDM turut menampilkan persembahan udara yang nyata berbeza melibatkan aset iaitu helikopter Fennec dan Super Lynx.

Buat julung-julung kali HTA turut menampilkan dua buah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang melakukan lintas terbang pada aras rendah.

Sementara itu Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Rusli Ramli semasa berucap merasmikan HTA’19 berkata, pelbagai acara yang disusun pada program yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan TLDM.

Katanya, penganjuran ini merupakan respons positif TLDM selain mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kesiagaan TLDM.

“Selain gerai pameran, kita turut melakukan aktiviti kemasyara–katan iaitu pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma kepada orang ramai.

“Apa yang sedikit berbeza, pada tahun ini kita mempamerkan demontrasi tempur di pekarangan bangunan Markas Armada Barat dan bukan seperti lazim di atas kapal.

“Kita mahu memberitahu kepada masyarakat bahawa TLDM turut memainkan peranan dalam tugas-tugas pertahanan di daratan mengikut kesesuaian pasukan yang ditugaskan misalnya Paskal,” ujarnya.

Kehebatan sambutan HTA kali ini benar-benar terserlah apabila merekodkan kehadiran kira-kira 58,000 pengunjung sebaik sahaja melabuhkan tirainya.