Kehidupan penuh berbeza inilah menjadi pilihan seramai 336 orang anak muda apabila melalui tempoh peralihan selama enam bulan sebelum bergelar perajurit muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Semestinya sepanjang tempoh berada di Akademi Tentera Udara (ATU) di Ipoh, Perak tidaklah mudah apabila perlu membiasakan diri dengan kehidupan sebagai anggota tentera.

Perajurit Muda Udara Siri 60/2019 ini memulakan latihan pada 1 Januari bagi menjalani latihan asas ketenteraan selama 24 minggu. Sepanjang latihan mereka dibahagikan kepada empat pasukan atau flait iaitu Alpha, Bravo, Charlie dan Delta.

Mereka menjalani latihan yang terbahagi kepada tiga fasa meliputi latihan asas ketenteraan, akademik dan latihan serta ujian praktikal bagi pembentukan sahsiah seorang ahli udara yang berdisiplin.

Antara modul latihan yang dipelajari adalah kawad, latihan jasamani, pengendalian senjata, menembak dan latihan hutan. Modul akademik pula meliputi pendedahan terhadap organisasi TUDM, pengetahuan am perkhidmatan, tatatertib, pendidikan Islam, moral dan etika ketenteraan.

Sesi kali ini juga sedikit mencabar apabila para pelatih perlu menjalani latihan semasa Ramadan lalu. Walaupun terpaksa menahan dahaga, namun itu semua dianggap cabaran kecil sepanjang mengharungi liku-liku bergelar perajurit muda.

Penat jerih ini akhirnya berbalas apabila pada 16 Jun lalu, kesemua 336 perajurit muda udara ini termasuk 42 orang pelatih wanita berjaya menamatkan latihan untuk bergelar anggota TUDM atau Airmen.

Majlis perbarisan yang penuh adat istiadat ketenteraan ini dihadiri Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta disaksikan kira-kira 2,000 hadirin yang juga ahli keluarga dan sanak-saudara para perajurit muda berkenaan.

Kesungguhan dalam aspek kepimpinan, penglibatan dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang latihan menyaksikan Anugerah Pelatih Terbaik diterima Perajurit Muda Muhammad Khairul Fauzan Abd. Rahman, 23, yang menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara.

Dia yang berasal dari Rantau, Negeri Sembilan dan memiliki Diploma Kejuruteraan Eelekrik dari Politeknik Merlimau, Melaka sememangnya menyimpan azam untuk bergelar anggota tentera sejak di bangku sekolah.

“Sepanjang tempoh latihan, jurulatih sentiasa menanamkan semangat juang yang kental, semangat setiakawan, ketahanan mental dan fizikal serta patuh kepada arahan.

“Bimbingan para pegawai dan jurulatih di sini menyuntik kami untuk sentiasa memperbaiki diri, maju dan berdaya saing,” ujarnya ketika ditemui selepas perbarisan tersebut.

Dua lagi pelatih iaitu Perajurit Muda Ardimansyah Latman, 24, dan Perajurit Muda Andrew Prakash, 23, pula masing-masing diumum Pelatih Akademik dan Penembak Terbaik.

Ardimansyah yang merupakan anak kelahiran Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau, Sabah merupakan pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) dari Politeknik Kuching.

Sebelum menyertai TUDM, anak sulung daripada enam beradik ini melakukan pelbagai pekerjaan antaranya sebagai tukang masak, mekanik dan pekerja kontrak di negeri kelahirannya.

Katanya, paling mencabar adalah semasa fasa latihan hutan apabila mereka didedahkan dengan kemahiran membaca peta, melakukan serang hendap dan rondaan.

“Semasa latihan ini saya telah mengetuai platun dan dapat mempelajari banyak perkara baharu termasuk aspek kepimpinan serta bagaimana mentadbir pasukan di medan,” ujarnya.

Bagi Andrew Prakash pula, menyertai TUDM menjanjikan pengalaman menarik dengan cabaran tersendiri yang tidak dapat ditawarkan di tempat lain.

“Saya memang meminati pesawat sejak kecil. Jadi, saya tidak ragu-ragu memilih TUDM selepas tamat Diploma Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Kapal Terbang dari Adtec Shah Alam, Selangor,” ujarnya yang berasal dari Kulim, Kedah.

Flait Terbaik Keseluruhan pula milik Flait Bravo berikutan kejayaan merangkul pelbagai kejuaraan antaranya johan menembak, jalan laju dan pertandingan kawad.

Sementara itu pada sesi sidang akhbar, Affendi memberitahu, program pemodenan yang sedang dibangunkan ketika ini memerlukan TUDM memiliki sumber keanggotaan yang berkualiti serta berdaya saing.

Sehubungan itu beliau memberitahu, cadangan TUDM adalah menetapkan kelulusan peringkat diploma sebagai syarat bagi pengambilan perajurit muda pada masa hadapan.

Menurut beliau, sejak dua tahun lalu hampir 30 peratus daripada pelatih baharu TUDM adalah lulusan diploma terutama dalam bidang kejuruteraan.

“Berbanding anggota biasa, latihan kemahiran lanjutan bagi lepasan diploma juga dapat disingkatkan. Mereka juga menerima tangga gaji permulaan lebih tinggi iaitu kira-kira RM1,899 bergantung kepada bidang kemahiran masing-masing,” katanya.