Bagaimanapun apabila berfikir untuk membuka sebuah restoran, keuntungan bukan sandaran utama sebaliknya beliau mahu pengunjung yang melangkah masuk ke restoran miliknya dapat menjalin silaturahim dan mengetepikan apa jua perbezaan pandangan dalam kehidupan harian.

MUHAMMAD AIMAN LOH
MUHAMMAD AIMAN LOH 

Kata Muhammad Aiman, tidak kira seseorang itu menyokong parti A, B atau C, apabila dihidangkan makanan yang enak, tumpuan mereka adalah tentang keenakan rasa makanan itu.

Oleh sebab itulah, apabila Muhammad Aiman atau lebih mesra dengan panggilan Aiman mengambil keputusan untuk membuka Restoran Chinese Muslim Abdullah di Medan Meru Bestari, Ipoh, Perak dan memperkenalkan masakan Kantonis yang dijamin halal, beliau berlapang dada kerana dapat berkongsi makanan halal.

“Saya sedar terdapat banyak restoran yang menyajikan makanan Cina Muslim, namun saya percaya, masakan Kantonis di Restoran Chinese Muslim Abdullah ini adalah yang terbaik dan menepati citarasa serta selera penggemar makanan Cina Muslim,” katanya kepada Utusan Online usai majlis pembukaan secara rasmi restoran tersebut di Jalan Medan Meru Bestari, Ipoh, Perak, petang semalam.

RESTORAN AIMAN
 

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah Pelancongan dan Kesenian Perak, Mohd. Hizaz Mohd. Ibrahim, Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), Datuk Seri Abu Hasan Mohd. Nor, Datuk Hakim Hamidi (DPUKM Selangor), Zaini Zakaria dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan wakil media massa dari Kuala Lumpur.

Sebagai Pengarah Urusan restoran, Aiman berkata, terdapat 26 jenis masakan Kantonis yang ditawarkan kepada pelanggan dan sajian yang disediakan tidak menggunakan paste atau sos yang dibeli sebaliknya dibuat sendiri oleh tukang masak yang juga merupakan bapa saudaranya.

“Bapa saudara saya belajar memasak sejak dia berusia 16 tahun dan hari ini, Kenji yang berusia 52 tahun dipertanggungjawabkan sebagai Chef di Restoran Chinese Muslim Abdullah.

“Walaupun saya mengambil bapa saudara sendiri bekerja di restoran ini, jangan salah anggap kerana ini bukan perniagaan keluarga. Hubungan antara saya dan pakcik adalah sebagai majikan dan pekerja,” ujarnya yang memastikan Chef Kenji diajar, dilatih serta didedahkan dengan penyediaan masakan Kantonis yang terbaik.

Aiman berkata, walaupun beliau mempunyai darah Tewchew dari sebelah ayahnya manakala ibunya berketurunan Kantonis, namun masakan Tewchew dirasakannya kurang sesuai untuk diketengahkan dalam masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam.

RESTORAN
 

“Sebagai orang Islam dan kita teringin untuk mencuba masakan orang Cina, adakalanya kita terlupa, asalkan sajian itu tidak ada daging khinzir, boleh dimakan. Itu salah.

“Segala-galanya mesti halal dan toyibban. Ayam, misalnya, mestilah disembelih dengan cara yang betul mengikut Islam. Kebersihan dalam penyajian makanan juga penting. Jangan diambil mudah kerana apa yang kita makan, menjadi darah daging.

“Oleh itu, saya amat faham apabila mereka yang kaki makan mahu merasa masakan Cina, di Restoran Chinese Muslim Abdullah, masakan Kantonis yang disajikan adalah sama seperti masakan di Hong Kong,” jelasnya.

Kata Aiman lagi, terdapat dua sajian yang wajib dipesan oleh pelanggan yang masuk ke Restoran Chinese Muslim Abdullah ini iaitu labu masak lemak dan masakan storm style (gaya ribut).

“Sos masakan kami adalah rahsia namun daripada labu, kami jadikan sos untuk sajian ayam dan makanan laut. Maka itulah di restoran ini, Chef kami buat sendiri sos dan sama sekali tidak menggunakan sos yang dibeli di pasaran.

ASAM PEDAS
 

“Seperkara lagi, harga makanan kami memang terpampang dalam menu mengikut saiz kecil dan besar hidangan yang dipesan.

“Jadi, pelanggan yang masuk ke restoran kami tidak perlu ragu-ragu sama ada duit dalam dompet mencukupi atau tidak untuk membayar makanan yang dipesan.

“Saya memberi jaminan, harga makanan di Restoran Chinese Muslim Abdullah ini adalah murah dan tidak membebankan pelanggan,” tegas Aiman.

Restoran Chinese Muslim Abdullah beroperasi setiap hari, kecuali Khamis, bermula dari pukul 4.30 petang sehingga 12 malam. - UTUSAN ONLINE