Kerabu lidah lembu ini agak susah untuk disediakan dan tidak keterlaluan jika dikategorikan sebagai menu esotik di bulan puasa.

Menurut Chef Eksekutif PGH, Wilfred Lim, kerabu lidah lembu hanya boleh dinikmati pada bulan Ramadan nanti.

"Memang kebanyakan hotel yang menawarkan bufet Ramadan bersandarkan kepada menu kambing golek atau kambing bakar. Walaupun kami di sini ada menyediakan menu kambing yang dianggap sebagai menu ruji namun keistimewaan Lambaian Desa PGH di bulan Ramadan ialah kerabu lidah lembu," katanya.

LAMBAIAN PGH

MAKANAN segar sedia untuk dibakar antara tarikan sajian Bufet Ramadan berkonsepkan Lambaian Desa di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Kuala Lumpur yang akan bermula pada 10 Mei 2019. - UTUSAN ONLINE/HASNURUL MOHAMED

Beliau berkata, menyediakan kerabu lidah lembu memerlukan para chef melakukan kerja yang agak rumit.

"Ia bukan kerja remeh tetapi rumit kerana lidah lembu perlu dibersihkan betul-betul, perlu dikikis dan direbus dalam air yang menggelegak. Kemudian, dikikis dan dibersihkan, direbus lagi.

"Proses itu perlu dilakukan berulang kali sehingga lidah lembu itu benar-benar bersih dan lembut," katanya sambil menambah, Bufet Ramadan turut menyediakan masakan daging Rusa Black Pepper.

Kata Chef Wilfred lagi, kambing golek yang disediakan tidak kering dan perapan mencampurkan mustard dan lengkuas.

PGH
SEKSYEN pemanis mulut yang menyediakan pelbagai juadah menyelerakan di Carousel International Coffeehouse, Palace of the Golden Horses pada bulan Ramadan nanti. - UTUSAN ONLINE/HASNURUL MOHAMED

"Kita perap kambing ini selama 48 jam untuk memastikan bahan-bahan perapan itu sebati dengan kambing dan jika tempahan yang diterima pada bulan Ramadan untuk berbuka puasa mencapai 500 orang, maka kami menyediakan lapan ekor kambing yang siap untuk dipanggang dan dibakar," ujarnya.

Selain itu, Bufet Ramadan Lambaian Desa yang mengenakan harga RM138 untuk orang dewasa manakala RM69 bagi kanak-kanak, terdapat tiga menu yang ditukar-tukar sepanjang bermulanya sajian bufet pada 10 Mei nanti.

SUP GEAR BOX

Secara keseluruhan terdapat 150 jenis hidangan yang boleh dipilih daripada 15 station di Carousel International Coffeehouse dan khusus di bulan Ramadan, pihak pengurusan PGH turut menyediakan 200 khemah atau markey tent di padang.

Pelbagai jenis kuih Nyonya dan Melayu turut disediakan oleh 138 kakitangan bahagian Food and Beverages (F&B) termasuk 11 chef di dapur.

Untuk tempahan boleh hubungi 03-8946488 sambungan 3781 atau 0123052609. - UTUSAN ONLINE