Pengarah Urusannya, Datuk Radha Krishnan berkata, kerjasama itu bakal menyaksikan semua pihak terbabit menganjurkan program demi meningkatkan industri sukan negara.

Menurutnya, UFL menemui wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun lalu bagi membincangkan jalinan kerjasama antara pihaknya dan universiti itu.

Katanya, selepas beberapa pertemuan dan lawatan ke ibu pejabat UFL dan kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak, akhirnya tiga perkara telah diputuskan.

Radha berkata, perkara pertama yang diputuskan melibatkan pembangunan keusahawanan iaitu membuka laluan kepada mahasiswa UPSI meneruskan kerjaya dalam industri sukan tanah air.

“Memang niat saya untuk melahirkan lebih ramai usahawan seperti kami. Jadi, kami akan menggunakan pengalaman dalam industri sukan bagi melahirkan usahawan UPSI,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Tuan Ahmad Faedzal Md. Ramli; Pengerusi Eksekutif UFL, Datuk Abdul Malek Md. Noor dan Pendaftar UPSI, Dr. Zainab Othman.

Radha berkata, tidak ramai mahasiswa dilengkapi pengetahuan mengenai perniagaan dan memahami nilai atau rantaian sektor pembuatan dan peruncitan.

“Pengalaman kami yang lama dalam bidang ini diharap dapat memberi pengetahuan awal kepada mahasiswa mengenai fungsi pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit barangan serta perkhidmatan sukan,” katanya.

Radha berkata, pihaknya akan membuat kajian lanjut bersama pegawai akademik UPSI mengenai usaha merangka silibus teori dan praktikal untuk pelajar universiti berkenaan.

“UFL akan menyediakan elaun kepada pelajar UPSI yang terlibat dalam program magang (internship) di ibu pejabat kami di Kuala Lumpur,” tambahnya.

Menurutnya, mahasiswa yang terpilih akan diberi pengalaman industri dan kerjaya di UFL sekali gus mendedahkan mereka kepada kerja-kerja pejabat dan aktiviti luar yang melibatkan cabang industri tersebut.

“Kami turut melibatkan mereka (mahasiswa) dalam tiga penganjuran aktiviti bertaraf antarabangsa yang akan diadakan di UPSI. Kesemua acara ini akan mendedahkan mahasiswa tentang bagaimana program berkelas dunia dianjurkan,” katanya.

Tiga acara itu adalah Deuter MTB Jamboree pada 8 September 2019, Deuter Camp & Hike (12 atau 13 Oktober 2019) dan CAMTRA (Camelbak Ultra Trail Run pada 9 atau 10 November 2019).

Dalam pada itu katanya, UPSI akan menyediakan kru teknikal dan sokongan bagi mengendalikan acara tersebut.

“Apa yang mengujakan ialah Kementerian Belia dan Sukan akan memasukkan ketiga-tiga acara tersebut dalam kalendar tahunannya dengan mencatatkan acara Deuter Camp & Hike ke dalam kalendar Bulan Sukan Negara pada Oktober ini,” katanya.