Hidangan seperti ikan, udang, ayam, mi, limau mandarin serta kuih bakul antara sajian wajib ketika jamuan makan besar. Pemilihan menu amat penting kerana setiap makanan yang dihidangkan memiliki makna berbeza. Bagi simbolik ikan dan ayam, dalam perkataan Cina, ia membawa tuah yang banyak.

Ramai yang tidak mengetahui, jamuan makan malam Tahun Baharu Cina bukan sekadar untuk kaum keluarga berkumpul tetapi juga berkait rapat dengan harapan untuk kemakmuran hidup. Justeru, setiap hidangan yang disediakan semasa jamuan tersebut menjadi simbolik kepada kemakmuran.

Hidangan yang biasa disediakan terdiri daripada ikan, udang dan sayur. Ikan atau yee bermaksud kemakmuran, udang (Ha) melambangkan kegembiraan dan sayur (Sang Choy) merujuk kepada kemajuan. Selepas jamuan makan, ibu bapa akan memberikan angpau terus kepada anak- anak dan amalan itu adalah satu tradisi.

Bagi mereka yang masih mencari-cari restoran untuk menjamu selera sempena sambutan Tahun Baharu Cina nanti, anda boleh mencuba hidangan bufet di The Coffee House yang terletak di tingkat sembilan, Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur.

Hidangan Tahun Baharu Cina di hotel ini merupakan hasil air tangan Eksekutif Chef, Rosham Rusli yang berpengalaman lebih 10 tahun menyediakan hidangan perayaan tersebut.

“Masyarakat Cina akan pergi ke restoran yang menyediakan banyak lauk istimewa untuk makan besar. Lazimnya, mereka akan menempah pelbagai makanan sebanyak yang boleh dan dengan ini juga dapat mengeratkan hubungan antara sanak saudara yang lama tidak berjumpa,” katanya.

Khusus untuk hidangan kali ini, Chef Rosham hanya memilih bahan-bahan yang berkualiti bagi set makan besar malam perayaan. Antara hidangan istimewanya ialah ayam barbeku yang dihidang atas pinggan, siew mai goreng, ladu udang, isi ketam masak panas dan masam szechuan dan sup ayam.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati variasi makanan laut seperti udang harimau, sotong dan ikan hering. Tidak ketinggalan, hidangan lazat piza daging itik bakar, daging masak lada hitam, stu cendawan, dim sum dan banyak lagi. Lengkapkan hidangan anda dengan pencuci mu­lut seperti penkek lotus, kek lapisan buah naga merah, velvet, coklat , mangga tiramisu dan aneka biskut tradisi masyarakat Cina.