Haiwan tersebut yang ditemui di luar pintu belakang rumah Alexey Khaideyev dalam keadaan kurus kerana kekurangan makan akibat kesakitan.

Khaideyev menemukan harimau itu ketika mahu keluar dari rumah di halaman belakang pada awal pagi, namun gagal membuka pintu akibat tersekat.

Menurut laporan metro.co.uk yang dipetik menerusi Siberian Times, Khaideyev terdengar rengusan harimau itu semasa menolak daun pintu tersebut dengan kuat akibat tersekat.

Bunyi rengusan haiwan liar itu menyebabkan dia kembali menutup pintu dengan segera dan menghubungi pihak berkuasa bagi melaporkan kejadian yang berlaku.

Sepasukan pakar harimau dikejarkan ke rumah Khaideyev dan menembak haiwan berkenaan dengan pelali sebelum dibawa pulang ke pusat pemuliharaan di Alekseevka.

Hasil siasatan mendapati harimau betina berusia sekitar 10 tahun itu mengalami bengkak gusi dan sakit gigi menyebabkannya kelaparan kerana tidak boleh makan.

Pengarah Pusat Harimau Siberia, Sergey Aramilev berkata, haiwan itu berkelakuan baik seolah-olah menunggu ihsan dan bantuan daripada orang ramai.

“Harimau itu berada dalam keadaan keletihan, kelaparan serta kurus. Haiwan ini mengalami masalah gusi yang serius, selain beberapa batang gigi di bahagian atas telah hilang,” katanya.

Kakitangan pusat itu telah merawat harimau berkenaan dan memberinya makanan yang cukup iaitu daging dicampur antibiotik. – MALAYSIAN REVIEW