Persatuan Kebangsaan Pekak Malaysia (NSD) yang telah didaftarkan pada tahun 1961 sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang dikecualikan daripada cukai tempatan itu mahu memperbaiki taraf hidup warga pekak di Malaysia.

Presiden NSD, Ir. Nazemi Mat berkata, sebanyak 50 orang kanak-kanak dan 12 guru yang bekerja di bawah persatuan tersebut memerlukan dana bagi menampung kos pembelajaran seorang murid yang menelan hampir RM550.

“Peruntukan yuran untuk mereka hanya RM100 ringgit sahaja, tetapi realitinya kos untuk seorang murid ialah RM550, belum dikira lagi dengan keperluan NSD bagi membeli peralatan alat pendengaran telinga bernilai hampir RM6,000 seunit.

“Selain itu, kami juga memerlukan dana untuk kos operasi sekolah, dimana sudah 25 tahun bumbung sekolah ini tidak dibaiki dan membeli buku-buku di perpustakaan juga tidak pernah diganti dengan buku yang baharu,” katanya ketika ditemui Pekema Auto & Industri di sini, baru-baru ini.

Nazemi berkata, NSD lebih menumpukan perhatian kepada isu bagaimana kanak-kanak pekak dapat dibantu dalam mempelajari bahasa menerusi kaedah `pertuturan KIU’.

“Pelbagai organisasi ditubuhkan bertujuan membantu warga pekak mengatasi kelemahan mereka tetapi di NSD kami membantu mereka menulis dan juga bertutur. Cara `pertuturan KIU’ ini adalah dengan menggunakan pergerakan tangan yang membawa maksud tertentu. Ini adalah untuk mengelakkan kekeliruan dalam pembacaan gerak bibir,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Pekema, Datuk SM Zulkifli SM Amin berkata, Yayasan Pekema sangat berbesar hati untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan pendidikan.

“Kita tahu ibu bapa memang sangat mementingkan pendidikan anak-anak. Walaupun NSD tidak cukup dana mereka masih dapat memberikan pendidikan terbaik untuk muridnya. Bayangkan murid pekak ini dapat bertutur, menyanyi malah dapat mengaji dengan baik.

“Diharap jika lebih ramai NGO atau pihak yang berkaitan tampil untuk menyumbang dana kepada persatuan ini,” katanya.

Orang ramai yang mahu menderma boleh menghubungi NSD di talian 03- 92870739 atau melayari laman web www. nsd.org.my.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun NSD di Bank RHB 21418300036576 atai Zakat RHB 21434336008400 di bawah nama Persatuan Kebangsaan Pekak Malaysia.