Islam telah membuktikan perkara tersebut sejak mula bertapak di kota Madinah kira-kira 1,400 tahun lalu. Sumbangan golongan wanita tidak hanya dalam pembangunan fizikal dan rohani di kota Madinah, tetapi juga dalam peperangan bagi mempertahankan kota suci Islam itu.

Kepentingan tersebut sejajar dengan pandangan pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Woman In Rail Malaysia (WR), Natasha Zulkifli ketika ditemui di pejabatnya di SIPP-YTL, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

NATASHA ZULKIFLI
NATASHA ZULKIFLI

Beliau menyifatkan dalam pembangunan, sesebuah organisasi tidak hanya tertumpu kepada penggunaan tenaga fizikal, tetapi juga melibatkan aspek lain seperti pentadbiran, kewangan, sumber manusia dan komunikasi.

“Samalah dalam pekerjaan rel (kereta api), ia tidak hanya memerlukan tenaga lelaki tetapi juga wanita dalam memastikan kelancaran operasi organisasi tidak terganggu,” katanya yang juga Pengarah Pemegang Kepentingan SIPP-YTL.

Tetapi katanya, ia tidak seharusnya meletakkan kaum wanita sekadar untuk memenuhi keperluan sahaja, tetapi perlu berasaskan kepada kelayakan atau kepakaran yang dimiliki.

Berdaya saing

“Inilah yang diperjuangkan oleh WR iaitu memastikan calon wanita yang memasuki bidang pekerjaan rel benar-benar berdaya saing selain mampu memberi sokongan kepada pekerja lain dalam industri tersebut.

“Dalam masa sama kami juga mahu memastikan ada calon wanita berkelayakan dalam barisan kepimpinan utama sesebuah organisasi pada masa depan,” kata pemegang Ijazah Undang-undang London School of Economics (LSE) ini.

WR ditubuhkan pada September 2017 dan memberi fokus kepada pembangunan, kemahiran fizikal serta rohani pekerja wanita dalam industri rel di Malaysia.

Ia tidak hanya tertumpu kepada pemandu dan jurutera, tetapi juga lain-lain skop pekerjaan dalam industri tersebut. Jumlah keahlian NGO itu sehingga kini mencecah 500 orang. Untuk keterangan lanjut, layari laman web www.womeninrail.org.my.

Namun, Natasha mengakui usaha untuk merealisasikan impian WR banyak bergantung kepada sumbangan dan komitmen tenaga sukarelawan dalam pertubuhan berkenaan.

Ini kerana katanya, semua ahli jawatankuasa (AJK) termasuk beliau sendiri perlu bijak membahagikan masa antara pekerjaan rasmi, keluarga dan minat mendalam dalam kerja-kerja NGO.

“Saya bersyukur kerana adanya sumbangan tenaga dan dana daripada AJK, kawan rapat dan tetamu jemputan dalam setiap program yang kami anjurkan sejak WR ditubuhkan tiga tahun lalu.

“Terbaharu adalah Persidangan Kepemipinan WR Malayasia pada 8 Julai lalu di Hotel JW Marriott Kuala Lumpur dengan menampilkan 21 pembentang kertas kerja dalam pelbagai bidang pekerjaan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persidangan sehari itu, Natasha memberitahu, antara tajuk yang diberi tumpuan adalah kemahiran dan strategi dalam memperkasakan aspek kepimpinan, keberkesanan pelaksanaan projek utama kereta api dan potensi bidang tersebut.

Beliau menyifatkan persidangan itu sebagai langkah awal bukan hanya untuk menaikkan martabat wanita dalam pekerjaan tersebut, tetapi juga potensi industri berkenaan pada masa depan.

“Industri rel tempatan hari ini mungkin sedikit perlahan, tetapi percayalah ia tetap akan berkembang pesat pada masa depan kerana permintaan terhadap perkhidmatan ini tidak pernah berkurangan,” tambahnya.