Kita bernasib baik kerana pelbagai makanan itu masih boleh dinikmati sama ada di majlis-majlis keraian, musim perayaan, malah ada yang mengusahakan secara komersial.

Hakikatnya terdapat ratusan jenis makanan tradisional di negara ini. Antara yang jarang ditemui adalah opok-opok, buah tanjung, emas sejemput, lawa terung, umai, masak lemak mumbang, emping, sambal tahun, gulai lemak umbut dan banyak lagi. Masing-masing dari kaum, negeri dan latar belakang berbeza.

Zaman berubah, begitu juga cita rasa manusia. Jadi, tidak hairanlah jika generasi muda kini tidak mengenali makanan warisan yang pernah menjadi kegemaran nenek moyang, mungkin juga ibu bapa kita suatu ketika dahulu.

Ekoran cita rasa golongan muda yang lebih menjurus kepada makanan moden, ditambah pula semakin kurang individu yang boleh menyediakan hidangan tersebut, maka banyak makanan tradisional kian dilupai.

Jabatan Warisan Negara sehingga kini mengisytiharkan 213 jenis makanan tradisional di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) agar tidak pupus ditelan masa.


MENJEJAKI MAKANAN WARISAN


Timbalan Ketua Pengarahnya, Mohamad Muda Bahadin berkata, ketupat sotong, nasi minyak dan nasi dagang adalah antara makanan yang dimasukkan ke dalam senarai berkenaan.

“Akta ini menguatkuasakan peruntukan untuk pemuliharaan dan pemeliharaan warisan kebangsaan, warisan semulajadi, warisan ketara dan tidak ketara, warisan kebudayaan di bawah air dan harta karun serta perkara yang berkaitan,” katanya.

Jabatan mentakrifkan warisan sebagai sesuatu yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Ia dianggap sebagai khazanah negara yang pernah atau sedang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat atau manusia sejagat yang menjadi tanggungjawab bersama untuk dilindungi dan dikekalkan.

Makanan warisan boleh dianggap sebahagian daripada budaya bangsa yang perlu dipertahankan agar sentiasa relevan dan diingati oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini terutamanya generasi muda.

Mohamad Muda berkata, jabatan melakukan pelbagai usaha termasuk menjelajah ke pelusuk tanah air bagi menjejaki suri rumah, pengusaha komersial dan generasi tua yang masih menghasilkan makanan warisan.


BUNGKUS DAN KUKUS


“Pegawai dan penyelidik kami membuat kajian dan inventori berhubung makanan tradisional yang diperturunkan sejak zaman nenek moyang kita dan kini menjadi identiti sesebuah masyarakat.

“Makanan warisan ini direkod dari semua sudut seperti gambar, video, nama makanan, cara pembuatan, penyimpanan dan perayaan atau sambutan berkaitan penyediaan makanan tersebut,” jelas Mohamad Muda.

Makanan tradisional, tambah beliau, diperkenalkan kepada umum dan pelancong melalui demonstrasi pembuatan, bengkel penyediaan makanan warisan, acara rasmi kerajaan dan jualan melalui program jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau memberi contoh, Hari Kraf Kebangsaan 2019 di mana jabatan mengetengahkan ‘Masakan Warisan Malaysia Bungkus dan Kukus’ termasuk demonstrasi beberapa masakan makanan berkenaan.

“Antaranya adalah ketupat dakap iaitu pulut yang dibungkus dengan daun pisang dan dikukus, ketupat palas iaitu pulut yang dibungkus dengan daun palas dan dikukus, pulut kuning yang dikukus, dan pelbagai masakan seperti lopes, buah Melaka dan sebagainya yang mendapat sambutan hangat pengunjung termasuk dari luar negara,” katanya.


PELBAGAI ETNIK KONGSI SELERA


Mohamad Muda turut berkata, setiap kumpulan etnik memiliki warisan makanan yang beraneka rupa, warna dan rasa. Lebih menarik masing-masing mempunyai sejarah masakan tersendiri yang boleh dikongsi bersama.

“Sebagai contoh nasi lemak asalnya merupakan hidangan sarapan yang terkenal dalam kalangan etnik Melayu tetapi kini menjadi pilihan semua etnik, bukan sahaja untuk sarapan, malah tengah hari dan malam,” katanya.

Tambah beliau, makanan daripada etnik lain seperti dim sum, mi, kuetiau dan sebagainya yang asalnya merupakan makanan kegemaran etnik Cina kini menjadi kegemaran masyarakat Melayu, India dan etnik lain.

Malah, makanan etnik dari Sabah dan Sarawak seperti umai, linut dan manok pansuh juga semakin diterima masyarakat lain di seluruh negara yang secara tidak langsung menyumbang kepada perpaduan sosial.

Umai adalah isi ikan mentah yang dihiris halus, dicampur beberapa bahan lain serta perahan limau. Linut pula ialah makanan dibuat daripada tepung rumbia dan manok pansuh merupakan ayam yang dimasak dalam buluh.

Mohamad Muda berkata, majlis perayaan besar di negara ini seperti Rumah Terbuka Malaysia yang disambut bersama turut menghidangkan makanan warisan pelbagai kaum.