Seluruh keluarga bayi terbabit disoal siasat kerana dikhuatiri bersubahat melakukan penderaan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap si kecil tersebut. Sehinggalah tiba masa untuk menanggalkan simen pada kaki yang patah itu.

“Prakkk...!” Doktor  tersentak. Kaki bayi itu patah lagi tatkala simen cuba ditanggalkan. Buntu dengan apa yang berlaku, akhirnya doktor tersebut membuat keputusan untuk menjalankan ujian darah terhadap bayi berkenaan dan ibu bapanya. 

Nur Nabihah Mohd. Fazali, 24, merupakan  seorang pesakit Osteogenesis Imperfecta (OI) atau dikenali sebagai glass bone. Sehingga kini, Nabihah telah mengalami fraktur lebih daripada 100 kali! 

OI merupakan penyakit genetik jarang jumpa yang disebabkan oleh mutasi gen atau sejarah keturunan yang memiliki penyakit itu. Secara global, OI terbahagi kepada lapan jenis dan masing-masing mempunyai komplikasi serta tahap teruk yang berbeza.


Antara risiko komplikasi yang disebabkan oleh OI di samping kerapuhan tulang ialah masalah pernafasan, hilang pendengaran, skoliosis dan masalah jantung. Menghidap OI jenis ketiga, Nabihah sering kali fraktur sama ada ketika bersin, menggeliat hatta sekadar terdengar bunyi kilat.

“Masa kecil dulu, saya tak boleh dengar bunyi kilat, letupan seperti mercun, nanti patah. Orang sentuh kasar pun tak boleh,” ujar Nabihah.

Disebabkan tulangnya kerap patah, Nabihah dan keluarganya sudah boleh mengurus rawatan sendiri di rumah. 

“Bila patah memang selalu pergi hospital. Tapi tak ada rawatan khusus. Doktor cuma bagi paracetamol dan balut kecederaan. Tak ada rawatan yang menyembuhkan.

“Dulu masa zaman sebelum ada kereta, gigihlah juga ke hospital naik motor. Masa itu saya tak boleh duduk, sebab patah. Jadi, mak dukung saya yang diletakkan dalam posisi baring dan abah pula  bawa motor. Kalau hujan, buka sajalah mulut sambil minum air hujan..., bukan selalu,” kongsi Nabihah sambil berjenaka dalam akaun Facebook miliknya.

“Pada 1999 saya sudah mula berulang-alik dengan menaiki ambulans ditemani keluarga. Boleh kata selang satu hingga dua minggu mesti naik ambulans untuk berjumpa doktor. 

“Kalau masa sihat, naik ambulans itu satu aktiviti yang menyeronokkan. Tetapi kalau lepas pembedahan, naik ambulans agak  ‘menyeramkan’.

“Itu tak termasuk masa ambulans sedang bergerak laju. Saya tak berani nak tidur sebab takut ada tulang  akan patah kalau tak berjaga-jaga,” katanya lagi.