Amat jarang restoran yang menawarkan hidangan sedemikian menyertakan makanan Jepun seperti Teppanyaki dalam hidangan fusion mereka.

Justeru, ini memberi ilham kepada pemilik Chill n Santai, Ahmad Shahlan Mohd. Shuhaimi, 37 dan Norakmal Azid, 35, untuk memberi kelainan kepada pelanggan mereka dengan menyediakan hidangan dari negara Matahari Terbit itu.

Terletak di Bangi Gateway, restoran yang mula beroperasi pada Januari lalu menggunakan pendekatan berkenaan kerana menyedari ramai penduduk negara ini merupakan `pencinta’ makanan Jepun.

Kata Ahmad Shahlan, sebanyak 11 hidangan Teppanyaki disediakan untuk pelanggan sama ada untuk hidangan seorang atau dua orang, terpulang kepada cita rasa pelanggan.

Mereka boleh memilih sama ada hidangan Teppanyaki udang kara atau tempura ataupun memilih set kombo yang menjadi pilihan ramai iaitu hidangan nasi dengan makanan laut terdiri daripada ikan salmon, sotong dan udang serta daging batang pinang bersama-sama sos teriyaki yang enak dan dijamin halal serta sayur taugeh goreng.

Peminat nasi goreng pula boleh mencuba hidangan istimewa nasi goreng kambing dan menariknya, nasi goreng ini bukan sekadar campuran nasi dan daging kambing sebaliknya gulai kari kambing akan digaul pada akhir gorengan nasi menambahkan perisa nasi goreng itu ditambah aroma kari yang menyelerakan.

Selain dua menu hidangan itu yang menjadi pilihan ramai, hidangan masak lemak cili api daging salai turut mendapat permintaan kerana keenakan daging yang disalai sendiri di ruang khas menyalai di dapur restoran ini.

Bak kata dua sahabat ini, masak lemak cili api daging salai jika tidak pedas maka bukanlah dinamakan gulai salai justeru hidangan ini memang cukup pedasnya dengan kepekatan kuah dan aroma daging amat sesuai dengan mereka yang suka makanan pedas.

Mereka yang berselera besar boleh memilih set kombo hidangan Barat yang mewah dengan hidangan grilled chicken chop dan grilled lamb chop yang diperap dengan sos perapan istimewa menghasilkan rasa barbeku, lada hitam serta herba-herba terpilih malah tanpa sos hidangan ini boleh dimakan begitu sahaja.

Hidangan kombo ini didatangkan dengan pasta pilihan sama ada bolognese atau carbonara disertakan juga bebola daging dengan sos perang istimewa, sos lada hitam dan kentang goreng serta salad, amat sesuai untuk hidangan dua orang.

Selesai menjamu selera, pelanggan boleh membasah tekak dengan air lemon madu yang dihidangkan dalam gelas bersaiz besar atau merasa keenakan smoothie strawberi.

Terdapat 30 menu hidangan Asia termasuk nasi lemak dan roti canai serta 20 hidangan barat di restoran ini namun bagi mempelbagaikan menu, Chill n Santai akan memperkenalkan beberapa menu baharu setiap enam bulan.

Malah kata Ahmad Shahlan yang merupakan lulusan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Norakmal, lulusan Malaysian-France Institute (MFI), mereka merancang untuk memperkenalkan hidangan Mexico seperti nachos dan burrito pada hujung tahun ini.

Berkonsepkan moden klasik, Chill n Santai menggamit pelanggan untuk menikmati hidangan dalam suasana yang lebih `relaks’, sesuai dengan namanya malah turut menyediakan segmen hiburan sebagai halwa telinga bersama-sama kumpulan busker yang mengadakan persembahan pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu bermula 8 malam sehingga 11 malam.

Restoran yang boleh memuatkan 80 orang ini menawarkan hidangan pada harga yang bermula RM9 sehingga RM25 untuk hidangan seorang dan hidangan kombo berharga RM49.90