“Jadi pada saya hidup berumah tangga adalah matlamat utama setiap gadis. Tak pernah saya bayangkan perkahwinan akan membawa pelbagai masalah dan penderitaan.’’ Kata Rozalina, baru-baru ini.

“Oleh kerana gambaran kebahagiaan mengatasi kegagalan maka saya berpendapat keluarga yang bakal saya bina bersama Kadree pasti membawa kebahagiaan memandangkan perkahwinan kami direstui dan dirancang oleh kedua belah keluarga.

“Bebebapa bulan setelah berkahwin, Kadree suruh saya berhenti kerja. Katanya dia boleh beri saya makan dan dia juga suruh tutup akaun bank. Semua duit serahkan padanya. Alasannya kalau sudah berkahwin tanggungjawab beri makan pakai anak isteri menjadi tugasnya. Pasti saya percaya dan yakin dengan kata-katanya itu.

“Cuma apabila saya minta duit nak beli barang-barang peribadi susahnya dia nak bagi dan dia hanya belikan yang perlu saja. Benda lain dia simpan termasuk kad pengenalan saya. Jadi kalau berjalan saya berlenggang, no handbag, membazir katanya.

“Kalau ke pasar raya, saya pilih apa yang saya perlu, habis pilih bila sampai dekat kaunter. Kadree akan check troli. Dia akan keluarkan mana yang dianggap tak perlu.

“Nak jadikan cerita, ketika baru berkahwin 25 tahun lalu, kami sewa rumah. Jiran kami berniaga gerai makan. Dia peramah. Katanya kalau bosan datanglah rumah dia tolong kupas bawang, ubi kentang dan potong sayur. Dia akan beri upah. Saya minta izin Kadree, dia tanya berapa upahnya. Jiran beri saya RM10 sehari kerja tak sampai dua jam. Kadree izinkan. Tapi syaratnya saya mesti masukkan duit dalam tabung yang Kadree sediakan.

“Oleh kerana saya belum ada anak lagi, saya rasa seronok, sebab sebelum ini Kadree tak izinkan saya keluar rumah apa lagi berbual dengan jiran. Saya mesti duduk kunci pintu. Jadi bila jiran nak bagi kerja tentulah saya suka. Selepas dapat seorang anak, tiba-tiba Kadree kata kawannya minta saya jagakan anaknya, sebab isterinya bekerja. Saya setuju. Tetapi duit upahnya Kadree simpan. Daripada seorang bertambah tiga orang anak yang saya disuruh jaga.

“Masa berlalu begitu cepat. Daripada seorang bertambah empat orang anak. Kerja saya tetap sama iaitu jaga anak orang. Bukan seorang tetapi sudah jadi enam orang. Namun upahnya Kadree yang simpan. Masalahnya bila saya hendak berbelanja, contoh, hendak beli permainan untuk anak-anak tak pernahnya yang dapat. Hendak pilih pakaian mengikut selera saya pun tak boleh, pada Kadree semuanya membazir.

“Kadang-kala saya rasa sedih. Bila ke pasar raya ada benda yang anak-anak suka mereka merengek minta belikan, saya ambil dan masukkan ke dalam troli dengan harapan Kadree akan bayar, tetapi sebelum sampai ke kaunter, Kadree periksa dulu. Permainan anak-anak akan dibuang.

“Itu masa mereka masih kecil. Bila dah bersekolah perangai kedekut Kadree tambah teruk. Dia takkan beri duit saku sebaliknya suruh makan di rumah. Nak beli buku tambahan pun susah. Zaman itu buku teks ibu bapa beli setiap tahun, tapi Kadree cuma belikan yang mana perlu saja. Yang lain dia suruh kongsi dengan rakan sekolah. Memang kedekut.

“Oleh kerana kedekut itulah Allah uji dia dengan pekerjaannya tak pernah kekal. Sering bertukar.

Sampai ada ketikanya dia sendiri mengeluh bila dia ‘dibekukan’ dan akhirnya terpaksa berhenti cari kerja lain. Pelik juga mengapa dia terpaksa bertukar kerja, sedangkan dia ada ijazah ekonomi dari Universiti Malaya.

“Oleh kerana sering bertukar kerja, ada masanya saya terpaksa ikut dia berpindah ke negeri lain termasuk ke Sabah. Ketika itu anak ada lima orang. Tak sampai empat tahun di Sabah berpindah balik ke KL kerana diberhentikan. Masa menganggur itulah dia suruh saya bantu dia buat kerja jualan langsung. Dengan lima orang anak masih kecil, saya bantu dia dan hasilnya dia yang ambil.

“Bayangkan siang hari saya jaga anak orang, malam hari buat jualan langsung, pergi sana-sini, tinggalkan anak-anak di rumah. Kadang-kala dia ikut sama, biasanya saya pergi sendiri. Dia cuma arahkan saya jumpa orang itu jumpa orang ini. Esok pagi dengan penat dan tak cukup tidur jaga anak orang pulak iaitu kerja yang wajib untuk tampung makan minum sekeluarga.

“Ketika menganggur dia gunakan saya bantu dia berniaga. Bila dia dapat kerja baharu dia tetap ambil duit upah saya jaga anak orang untuk beli barang makan, selagi saya tak hulurkan duit dia tak akan beli barang makan. Duit dia simpan.

“Perangai kedekutnya memalukan anak anak. Bayangkan dia sanggup suruh anak-anak pinjam buku kawan, alasannya membazir. Dengan muka tak malu anak terpaksa patuh. Nasib baik, mereka pintar, jadi ramai kawan yang membantu. Lebih memalukan Kadree tak benarkan anak-anaknya aktif di sekolah yang memerlukan duit untuk beli pakaian seragam, masuk persatuan hinggakan duit PIBG pun Kadree tak mahu bayar, katanya sekolah banyak duit.

“Bila anak bertambah sembilan orang saya yang dahulu bodoh, mengikut perintah, lama-kelamaan saya sedar sampai bila saya harus jadi bodoh. Semuanya bermula bila anak masuk sekolah berasrama dan universiti yang perlukan duit tambahan. Kadree macam biasa tak akan beri duit. Tapi saya terpaksa berkeras demi anak anak. Terus terang katakan duit yang saya dapat saya akan beri pada anak-anak bakinya baru beri dia. Dia mengamuk. Katanya saya mewahkan anak-anak. Apa mewahnya. Mereka perlu duit untuk belajar.

“Hairannya dulu dia pun masuk sekolah asrama dan masuk universiti tentu perlukan banyak duit tambahan, tapi pada anak-anak dia kedekut.

“Kerana ayah terlalu kedekut, anak-anak terpaksa bekerja cari duit masa cuti sekolah dan cuti semester. Ada bekerja di kantin, di pasar raya dan ambil upah cuci pinggan mangkuk dan jadi pelayan dengan syarikat katering bila ada majlis perkahwinan.

“Pendek kata siapa nak komputer, kasut dan sebagainya cari duit sendiri. Jangan mimpi Kadree belikan. Bukan itu sahaja pakaian raya dia belikan dua tahun sekali. Sedangkan duitnya datang dari titik peluh saya sendiri. Kalau minta duit dia akan mengamuk.

“Rupanya dia mengamuk sebab kena berhenti kerja lagi, dapat VSS. Saya fikir tentu dia suka, tapi dia marah sebab saya tak mahu bantu dia di restoran yang dia buka. Pada saya mengapa saya mesti tinggalkan kerja yang dah tentu ada duit dengan bekerja di restorannya yang belum tentu untung ruginya. Memang betul tak sampai tiga bulan restoran tutup, tukang masak lari.

“Agaknya mungkin kerana kedekutya setiap bisnes yang diuruskannya tak pernah menjadi. Jadi jangan salahkan saya. Dia patut cermin dirinya. Bertahun-tahun saya anak- beranak disekat makan minum kerana dia nak simpan duit.

“Sejak berhenti kerja, kami sembilan beranak jadi sasarannya. Serba tak kena, mereka bekerja cari duit untuk duit saku, tapi balik lambat kena marah.

“Bertahun-tahun saya sabar perangai kedekutnya, akhirnya empat tahun lalu saya ke mahkamah syariah mohon kaunseling. Bila dia dipanggil kaunseling, saya kena sumpah seranah. Dimaki hamun.

Tapi saya sabar hinggalah awal tahun lepas bila kesabaran saya tercabar, saya mohon cerai.

“Setahun lamanya barulah saya diceraikan, tetapi dia suruh saya keluar rumah. Bukan Kadree saja suruh keluar kakaknya pun sama. Walaupun rumah ini atas namanya dan dibeli empat tahun yang lalu, saya yang bayar ansuran bulanannya. Saya takkan keluar. Saya harap masalah ini dapat diselesaikan di mahkamah.

“Tetapi masalahnya, mahkamah syariah terlalu lambat buat keputusan. Sedangkan bersama saya sembilan orang anak yang bergantung hidup dengan saya. Ayahnya langsung tak beri nafkah.’’ Itu cerita Rozalina panjang lebar tentang kisah suami yang kedekut.