Walaupun ada yang gagal tetapi mereka beruntung kerana ada kumpulan sokongan yang membantu menunjuk ajar perjuangkan nasib mereka.

“Tidak seperti kes saya dulu terpaksa guna peguam untuk tuntut cerai dan dapatkan hak nafkah anak-anak. Malangnya tetap gagal. Pada pandangan saya mahkamah banyak memberi pembelaan kepada lelaki hingga melupakan nafkah anak dan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Saya juga dapat rasakan seolah-olah mahkamah menyalahkan wanita kerana minta cerai dan mereka mesti dihukum.’’ Itu cerita Wan Zee ketika menghubungi penulis menceritakan pengalaman pahitnya, baru-baru ini.

“Tidak ada wanita yang yang mahu bercerai tanpa sebab kecuali mereka diseksa dan dipukul.

“Macam kes saya 14 tahun lalu. Saya terpaksa lari meninggalkan rumah membawa tiga orang anak kerana tak tahan dipukul dan dimaki. Saya bukan beg peninju untuk dipukul, diterajang sesuka hati. Kalau dua bulan sekali kena sepak saya masih boleh sabar, ini setiap bulan. Pantang silap saya akan ditampar. Paling kerap belakang badan saya sering ditumbuk. Macam nak gugur jantung. Hanya Allah yang tahu sakitnya.

“Saya tak berani melawan. Disebabkan sakit saya menangis. Kadang-kadang mangkuk kuah dia campak ke sinki kalau masakan tak kena dengan seleranya. Itu belum kes lambat masak atau lambat balik kerja. Terketar-ketar saya ke dapur memasak. Bila dah ketakutan mesti ada yang tak kena, itu yang jadi kemarahan Isma.

“Tindakan saya lari rumah pula kerana tak tahan dipukul. Masa itu cuti sekolah. Seminggu saya dikunci dalam rumah, tak boleh keluar. Sebab takut saya buat laporan polis. Tahu pula dia takut bila tengok dahi saya luka berdarah, mata, tangan dan lengan lebam. Habis cuti sekolah saya dibenarkan keluar pergi kerja, ketika itu saya buat laporan polis, jumpa doktor dan ke pejabat agama.

“Malangnya kedua-dua jabatan ini tak buat apa-apa. Polis kata ini kes rumah tangga boleh selesai.

“Memanglah waktu itu mata lebam dah kurang dan kepala tak berdarah lagi. Jadi tak nampak bukti. Apakah polis nak tunggu saya patah kaki tangan, retak tempurung kepala, atau mata buta baru ada kes? Kalau tidak mereka kata kes kecil.

“Lebih sakitkan hati bila saya tunjuk laporan polis dan doktor di mahkamah syariah nak mintak cerai, hakim pula tolak kerana tiada saksi. Kalau ada saksi, takkan saya dipukul dan diterajang? Lagi pun dia pukul dalam rumah. Mana ada saksi. Bodoh punya soalan.

“Kerana saya tuntut cerai, Isma bawa kes baharu suruh saya tebus talak RM80,000. Apa dia ingat saya cap duit ke? Sedangkan dia langsung tak datang ke mahkamah untuk kes tuntutan cerai, apa lagi kaunseling. Tiba-tiba mintak tebus talak.

“Tuntutan cerai saya gagal walaupun saya guna peguam. Kerana Isma tetap tak hadir. Akhirnya kerana bosan kebetulan anak sakit, jadi saya tuntut dia bayar bil hospital RM30,000. Itu pun dia enggan bayar. Dia tetap matikan diri. Tak mahu ke mahkamah.

“Oleh kerana kes terlalu lama dia tetap enggan bayar. Akhirnya saya terpaksa jumpa ketua jabatannya, minta tolongnya nasihatkan Isma. Barulah dia mahu ceraikan saya dan gugurkan tuntutan tebus talak RM80,000 tetapi dia bagi syarat tak mahu bayar bil hospital. Satu lagi amarannya lepas cerai kalau masih tuntut nafkah dia akan teruskan kes tebus talak. Gila punya orang, law mana dia pakai saya pun tak tahu.

“Selepas bercerai saya mohon bertukar tempat kerja, sebab tak mahu saya dan anak-anak diganggu. Bila saya bawa kes tuntutan nafkah dia ugut nak ambil anak. Sedangkan selama lima tahun dia tak pernah bagi nafkah. Jenguk anak sakit di hospital pun tidak.

“Dua tahun saya turun naik mahkamah untuk tuntut nafkah, akhirnya hakim setuju bagi RM100 untuk seorang anak, sedangkan saya tuntut RM200 seorang. Namun Isma tetap aniaya saya. Dia bayar nafkah melalui mahkamah setiap bulan, dan saya terpaksa ke utara setiap bulan ambil nafkah. Hakim ikut cakap Isma dan tolak tuntutan saya buat potongan gaji.

“Malangnya Isma tak bayar setiap bulan. Empat lima bulan baru bayar, sedangkan saya terpaksa ke mahkamah setiap bulan. Bila tanya mahkamah mengapa tak buat buat potongan gaji, mahkamah suruh saya buat permohonan baharu. His!!! Memang kes aniaya.

“Tuntutan ke mahkamah bukan sahaja membazirkan masa dan wang, tetapi amat menyakitkan hati. Saya bekerja, terpaksa ambil cuti tak bergaji.

“Bayangkan saya di Kuala Lumpur terpaksa ke mahkamah di Kedah yang jauh dan memakan belanja banyak. Pada saya keputusan mahkamh syariah banyak untungkan kaum lelaki. Namun kerana anak-anak saya terpaksa berkorban masa dan tenaga.

“Pada saya kes tuntutan nafkah boleh menjatuhkan maruah lelaki. Bayangkan seorang ayah sanggup guna peguam kerana tidak mahu bayar nafkah anak-anaknya. Apakah dia tak tahu tentang tanggungjawab ayah beri makan dan pakai pada anak-anaknya?

“Saya lagi hairan mengapa hakim boleh menyebelahi lelaki yang tak mahu bayar nafkah anak-anak. Peguam juga sanggup bekerja keras supaya si ayah tak perlu bayar nafkah anak. Ini semua kerja lelaki. Hakim lelaki dan peguam pun lelaki. Seolah-olah mereka langsung tak tahu tanggungjawab seorang ayah. Bukankah lebih baik hakim dan peguam nasihatkan semua lelaki supaya bayar nafkah. Bukankah anak amanah Allah?

“Ini tidak, peguam bermati-matian bela lelaki supaya tidak perlu bayar nafkah. Hakim pun sama.

“Sepatutnya sebaik si lelaki lafazkan cerai hakim terus tetapkan nafkah dan buat potongan gaji jika si ayah bekerja. Jangan seksa hidup anak-anak kerana kes tuntutan nafkah akan memakan masa bertahun tahun lamanya, jadi apa anak-anak nak makan.

“Dulu kerana tak mahu bagi nafkah Isma berbohong dalam mahkamah gajinya tak sampai RM1,000 sebulan, sedangkan ketika itu dia sudah 15 tahun bekerja dan ada ijazah. Malangnya hakim lebih percaya cakap si pembohong, walaupun saya tunjukkan bukti .

“Kini sudah dua tahun berlalu, cuma empat kali saya terima nafkah anak. Bakinya masih tertunggak walaupun saya setiap bulan ke mahkamah ambil nafkah. Bila sampai petugas beritahu duit masih belum terima dari Isma. Sebagai contoh awal tahun ini saya datang dia bayar RM300 tetapi empat bulan sebelumnya dia tak bayar. Bertangguh memanjang,” ujarnya lagi.

Bila saya buat aduan, pegawai mahkamah suruh buat tuntutan baharu. Memang menyeksakan.

“Kalau cerita pasal mahkamah syariah memang tak habis sampai bila-bila. Selagi tidak diseragamkan undang undang mahkamah syariah satu Malaysia, banyak pihak ambil kesempatan. Persoalannya, mengapa mesti seksa wanita yang menuntut cerai?

Apa yang diceritakan ini adalah berdasarkan pengalaman saya ketika berurusan dengan mahkamah syariah.

“Bila saya turun naik mahkamah, ada pihak salahkan saya konon terlalu berkira. Biarkan Allah membalasnya. Masalahnya anak-anak nak makan, nak belajar, mana saya nak cekau duit. Mereka semakin membesar. Belanja semakin bertambah.

“Kerana tak ada duit jugalah ramai ibu tunggal tak tuntut nafkah daripada bekas suami. Mereka tak tahu cara dan tiada siapa yang hendak bantu. Yang untung si ayah yang tak bertanggungjawab. Sudah sampai masanya, mahkamah syariah khususnya hakim melihat nasib ibu-ibu tunggal yang miskin lagi teraniaya ini dan ajar bekas suami supaya lebih bertanggungjawab,’’ itu pandangan Wan Zee tentang peranan KSIT dan pada masa sama menyokong penuh usaha badan itu membantu ibu-ibu tunggal membuat tuntutan sendiri tanpa peguam demi membela hak mereka.