Soalnya, bagaimanakah cara mereka hendak memulakan perniagaan? Realitinya, tidak ramai graduan yang mampu memulakan apatah lagi menguruskan perniagaan sendiri. Hanya mereka yang berani mengambil risiko dan kental boleh pergi jauh dalam bidang ini.

Shaick Saifullah

Itulah prinsip seorang anak muda yang mula menjalankan perniagaan sejak belajar di universiti lagi. Shaick Saifullah Jehangir Ali, 26, adalah seorang yang amat berminat dalam bidang perniagaan. Bermula dengan menjual kacang pada usia 19 tahun, kini pengasas syarikat Ombak Groups Sdn. Bhd. yang berasal dari Johor itu telah meluaskan empayar perniagaannya dalam bidang percetakan baju termasuk menghasilkan jersi berkualiti tinggi berjenama Ombak Exclusive.

Menurut beliau, idea menjual kacang yang dipek kecil-kecil dan diletakkan di beberapa lokasi strategik tumpuan pelajar di sekitar universiti adalah satu jenis perniagaan yang agak mudah kerana sering mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelajar.

“Saya melakukannya secara konsisten sehingga meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Saya perlu membungkus semula kacang yang beli daripada pemborong dalam pek-pek kecil kemudian saya membawanya ke 13 lokasi strategik di sekitar kampus setiap hari.

“Terdapat balang untuk pelajar mengisi duit selepas membeli kacang. Perniagaan sebegini ada risikonya kerana berdepan dengan masalah kehilangan kacang dan wang tetapi saya tawakal kepada Allah dan tidak berputus asa. Jika sudah tertulis ada rezeki saya, maka saya tidak akan pulang dengan tangan kosong,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Hasil usaha tersebut, dia berjaya mengumpul modal sebanyak RM60,000 untuk membuka sebuah bengkel mencetak baju. Peluang ini diambil memandangkan ramai rakan-rakannya di universiti terpaksa membeli baju jersi atau pakaian untuk program sukan atau hari keluarga pada harga yang mahal.

“Idea itu membuatkan saya terpanggil untuk membuka bengkel (kilang kecil) bagi mencetak baju yang ditempah. Lebih menarik saya juga merupakan seorang pelajar yang aktif dalam kegiatan persatuan dan kelab di universiti. Oleh itu segala tempahan baju untuk majlis yang dianjurkan telah ditawarkan kepada saya dan dijual pada harga mampu milik.

“Ketika itu saya hanya bekerja seorang diri dalam menyiapkan segala tempahan dan semuanya berjalan dengan baik. Tugas dan tanggungjawab saya sebagai pelajar juga tidak dilupakan dan saya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Pengajian Pengguna pada tahun 2016,” jelasnya.

Shaick Saifullah berkata, selain persatuan dan kelab di universiti, dia pernah menerima tempahan mencetak 60 helai baju untuk pasukan skuasy Pulau Pinang dengan harga RM1,200. Bermula dari situ, permintaan semakin bertambah sehingga dia terpaksa mencari pekerja. Melihat potensi perniagaan tersebut, dia tidak menoleh ke belakang lagi.

KENANGAN ketika memulakan perniagaan mencetak baju di universiti.
KENANGAN ketika memulakan perniagaan mencetak baju di universiti.

Berkongsi faktor kejayaannya, Shaick Saifullah berkata dia sanggup berkorban masa, wang ringgit dan emosi. Baginya, jika daripada mula tidak berani untuk mengambil risiko, seseorang itu sukar untuk maju ke hadapan. Hakikatnya, masa bersama keluarga dan rakan-rakan pasti akan terkorban disebabkan sibuk menguruskan urusan kerja yang bertimbun apatah lagi ketika masih bergelar pelajar.

“Tiada istilah seorang usahawan duduk diam dapat duit. Tetapi itu tidak menjadi penghalang untuk saya mencuri sedikit masa untuk diluangkan bersama insan yang tersayang kerana usahawan yang hebat menguruskan perniagaan pasti hebat juga dalam menguruskan masa,” katanya.

Mengenai pengorbanan emo­­si, orang sekeliling pandai bercakap bahawa untuk menjadi seorang usahawan, ‘hati mesti mahu kering’. Persoalannya sejauh manakah mereka boleh bertahan dengan sikap sebegini?

Bagi Shaick Saifullah, usahawan perlu bersedia menghadapi tekanan emosi iaitu mereka mesti mampu mengawal pera­saan supaya dapat melangkah ke tahap yang seterusnya. Tidak ketinggalan, Shaick Saifullah berkata, untuk berjaya sokongan orang sekeliling termasuk keluarga sangat penting.

“Walau sebesar mana sesuatu perniagaan, mustahil bagi seseorang itu mencapai kejayaan yang tinggi tanpa sokongan orang sekeliling, khususnya keluarga. Zaman sekarang ini agak sukar untuk mendapat kepercayaan daripada sesiapa. Hanya diri sendiri yang perlu yakin dengan apa yang hendak dilakukan selain kepercayaan daripada ibu bapa, isteri, anak-anak dan ahli keluarga. Sekiranya kita berada dalam bulatan yang kurang menyokong perjuangan perniagaan kita, maka kita perlu mengubah untuk mencari bulatan yang lebih positif,” katanya.

Faktor-faktor inilah yang menjadi pendorong kejayaannya sehingga berjaya menambah kilangnya kepada tiga buah dengan 90 peratus daripadanya disumbangkan daripada percetakan pelbagai jenis baju.

“Daripada jumlah itu (percetakan baju), 70 peratus disumbangkan oleh segmen jersi berkualiti tinggi yang materialnya diimport bagi memenuhi cita rasa pelanggan. Jersi Ombak Exclusive memiliki kelebihan kerana bersesuaian untuk pelbagai aktiviti luar. Kainnya menyerap peluh, tidak luntur, mengembang atau mengecut selepas dibasuh atau digunakan beberapa kali.

“Jersi ini boleh didapati daripada saiz XS sehingga 6XL dan dijual pada harga antara RM25 hingga RM99 sehelai. Selain jersi yang dihasilkan mengikut tempahan pelanggan, syarikat juga menawarkan jersi mengikut trend semasa seperti musim Piala Dunia atau Sukan Malaysia,” jelasnya.

Menyentuh perancangan masa depan, dia bercadang untuk membuka sebuah kedai pameran di lokasi strategik di Kuala Lumpur bagi membolehkan pelanggan melihat dan memilih pelbagai rekaan jersi serta koleksi barangan lain keluaran syarikatnya. Syarikatnya juga bakal menawarkan peluang perniagaan kepada pengedar untuk menambah pendapatan tambahan selain turut memiliki 220 ejen di seluruh negara.