Kawasan tersebut pada siang harinya memang terkenal dengan kedai-kedai borong yang sering dikunjungi oleh pelbagai bangsa dan warganegara.

Nasib golongan ini seumpama jatuh ditimpa tangga. Sudahlah terhimpit dengan beban dan kemiskinan, hidup semakin tertekan akibat ditindas oleh ‘individu’ lain yang sepatutnya melindungi mereka.

Ada yang tinggal berhimpit-himpit dengan anak-anak dalam bilik kecil dengan sewa sehingga mencecah RM700 sebulan iaitu sama dengan sebuah rumah biasa yang disewa oleh sebuah keluarga.

Bilik-bilik yang disewa pula ada yang hanya berkeluasan sekitar 8x8 kaki atau lebih kecil 6x6 kaki.

Ruang-ruang rumah di tingkat atas diubah suai sehingga menjadi empat buah bilik dengan satu ruang dapur dan sebuah bilik air.

Ruang-ruang khas yang disekat-sekat untuk mewujudkan bilik-bilik tertentu inilah yang terpaksa dibayar harganya oleh penghuni sehingga mencecah ratusan ringgit sebulan atau secara harian berjumlah RM20 hingga RM30, mengikut keluasan bilik.

Beberapa penghuni yang ditemu bual, ada yang memberitahu, sekiranya penghuni tidak boleh membayar sewa secara bulanan, mereka akan membayar sewa bilik-bilik itu mengikut pendapatan yang diterima secara harian. Bilik-bilik ini dipunyai oleh individu bergelar tauke.

Sekiranya pada hari berkenaan mereka tidak cukup duit untuk membayar sewa, tauke-tauke rumah atau tuan punya bilik tidak akan membenarkan mereka masuk ke bilik sehingga mereka boleh menyediakan duit yang mencukupi untuk membayar sewa pada malam itu.

Mereka akan diusir keluar sekiranya gagal membayar sewa bilik, sekali gus memungkinkan mereka menjadi gelandangan.

Ada juga yang memberitahu, terdapat tauke rumah yang tergamak menyewakan bilik ditambah dengan caj bagi jumlah anak iaitu dikenakan RM10 atau RM5 setiap seorang.

Ada juga bilik-bilik yang tidak boleh memasak, tetapi sekiranya mahu memasak juga, mereka perlu dikenakan caj lagi. Begitu juga sekiranya ingin membasuh, penghuni bakal dikenakan caj tambahan. Mereka juga tidak dapat menyidai pakaian kerana tiada tempat disediakan.

Salah seorang penghuni yang hanya dikenali sebagai Puan Mi yang ditemubual baru-baru ini, dia telah dua tahun tinggal di bilik yang disewakan seperti itu.

Suaminya hanya pencari barangan lusuh manakala dia sendiri tidak bekerja dan mempunyai enam orang anak.

Nasibnya agak baik kerana tuan rumah membenarkan dia memasak dan biliknya juga agak luas berbanding bilik lain.

“Memang tidak selesa duduk macam ni kak, tetapi apa nak buat, hadap sahajalah. Di dalam bilik ini kami makan, tidur, berehat dan meneruskan kehidupan.

“Memang sukar untuk menyediakan duit harian untuk membayar sewa, tetapi kami usahakan juga agar nasib anak-anak dan kami dapat berteduh di bawah bumbung pada malam hari,” katanya yang memberitahu anak-anaknya belajar di sekolah rendah berhampiran.

Menurut Puan Mi, Terdapat sebuah sekolah dikenali sebagai Sekolah Jalinan Kasih untuk anak-anak yang tidak mempunyai dokumen sah.

Ada juga menerima bantuan RM400 sebulan untuk sewa bilik daripada Baitulmal yang dibayar terus kepada tauke.

Akan tetapi mereka masih perlu mencari duit lagi untuk bayaran bilik selebihnya.

Mereka juga menerima bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain kadang-kadang dapat bantuan kewangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

“Itu belum lagi dengan masalah persekitaran iaitu bersesak dengan warganegara lain, terdedah dengan masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, soal keselamatan dan kawasan persekitaran yang kotor.

Sementara itu rakannya, yang lebih dikenali sebagai San berasal dari Kelantan berkata, dia sudah enam tahun berada di Kuala Lumpur dan tinggal di bilik-bilik seperti itu. Mempunyai empat orang anak, suaminya juga mencari barangan lusuh dan kerja sambilan mengangkat barang.

“Bilik ini memang kecil, sempit dan kotor kerana pelbagai barangan yang diperlukan diletakkan di dalamnya. Kalau boleh kami hendak juga merasa tempat tinggal yang lebih selesa,” katanya.

Perlu ilmu keluar daripada kegelapan

SEORANG aktivis dan sukarelawan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Street Ngaji, Hazalina Ghazali memberitahu, mereka telah lebih dua tahun mengajar mengaji al-Quran dan memberi khidmat lain secara percuma kepada warga dewasa dan kanak-kanak di sekitar Jalan Chow Kit.

Sukarelawan pertubuhan itu mengajar mengaji setiap hari Isnin sekitar pukul 8.30 hingga 10.30 malam di belakang bangunan Alka Ria yang kemudiannya menumpang di pejabat Buku Jalanan Chow Kit.

Dia memberitahu, memang terdapat banyak keluarga dan individu yang menyewa bilik di sekitar kawasan berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap tetapi membuat kerja-kerja sambilan dengan upah harian.

Memandangkan perolehan pendapatan yang terhad memaksa mereka mengambil makanan di Pusat Gelandangan Medan Tuanku atau yang sering disedekahkan oleh warga kota.

Ramai juga yang tidak mempunyai dokumen lengkap selain berhadapan dengan pelbagai masalah sosial yang kronik.

Dia berharap dengan pendedahan ini sekurang-kurangnya dapat memberi gambaran yang jelas kepada masyarakat luar tentang kehidupan sebenar golongan tersebut.

Dia juga berharap pihak berkuasa dapat memberi perhatian dan mengambil tindakan segera dalam menangani masalah tempat tinggal mereka.

“Golongan ini memang memerlukan bantuan kerana kehidupan mereka terhimpit. Alangkah bagus sekiranya mereka berpeluang berteduh di sebuah tempat yang benar-benar dipanggil sebuah rumah,” katanya.

Hazalina memberitahu, sebenarnya banyak bantuan telah diberikan oleh pihak kerajaan mahupun NGO bagi memastikan golongan miskin bandar dan gelandangan terbela.

Namun, sekiranya mereka sendiri tidak rajin berusaha tentunya tidak berhasil.

Mungkin juga mereka sudah selesa kerana sering mendapat bantuan daripada masyarakat setempat dan NGO seperti khidmat makanan percuma, pemeriksaan kesihatan dan sebagainya yang menjadikan mereka terus mahu menghuni jalanan kerana terlalu dibantu.

Pada pendapat Hazalina lagi, hanya dengan ilmu dapat mengubah minda untuk berusaha lebih gigih mengubah kehidupan diri dan keluarga mereka sendiri.

Dia positif sekiranya golongan tersebut mendapat sokongan serta panduan daripada semua pihak bagi meningkatkan jati diri, golongan ini pasti boleh berjaya.

Semoga dengan ilmu, generasi anak-anak mereka tidak lagi terbeban dan menghuni lorong-lorong gelap pada masa hadapan.