“Masa mula kahwin saya rasa sayalah yang bernasib baik, dapat suami baik dan bertuah kerana berkahwin dalam usia belum pun mencapai 28 tahun. Berbanding kawan sebaya masih belum berkahwin. Ada juga kakak saudara dah lebih 35 tahun tapi masih tak kahwin. Waktu itu rasanya saya amat bertuah. Tetapi setelah beberapa tahun, baru saya sedar, sayalah yang malang, sedangkan kawan dan kakak saudara yang bertuah, walaupun sendiri, tetapi mewah dan bahagia.’’ Itu cerita Ummi Salamah ketika ditemui yang kecewa dengan suaminya MZ .

“Sebelum ada tanggungan, tentulah senang berbelanja, tetapi bila dah mengandung, kita mula minta duit suami untuk persediaan sambut anak pertama, ketika itu saya rasa MZ amat kedekut. Dia suruh kita berjimat, nak jimat macam mana, nak bersalin tentu buat persediaan, kelambu, batal, lampin pakai buang, pakaian dan sebagainya, katanya guna apa yang ada. Apa yang ada?

“Nak tak nak bila dekat bersalin saya terpaksa beli barang keperluan bayi sendiri, cari bidan mengurut, ubat dalam pantang, makan minum pun kena jaga, tapi kata MZ emaknya banyak anak tak sibuk pun. Dia suruh jimat, betul, tetapi semua benda saya kena beli sendiri.

“Menitik air mata fikirkan perangai MZ yang langsung tak kisah tentang kesihatan kita yang sedang hamil dan dalam pantang, semua kena buat sendiri.

“Bila anak semakin besar baru sedikit demi sedikit saya dapat tahu bahawa MZ ini rupanya kaki judi. Itupun secara tak langsung saya ternampak beberapa keping kertas bernombor. Awalnya saya tak faham. Bila tanya kawan baru tahu rupanya kertas judi dan baru tahu apa itu judi kuda, toto dan magnum. Dalam diam-diam saya kira kertas judi yang saya jumpa dan jumlah duit yang dihabiskan dalam sebulan iaitu kira-kira RM100 seminggu. Lama kelamaan jumlah ini bukannya surut, malah bertambah RM300-400 seminggu. Ketika anak-anak bertambah ramai dan bertambah dewasa, lagi banyak dia berjudi.

“Bila rahsianya terbongkar dia langsung tak malu, malah kertas judi itu bersepah-sepah seolah-oleh mencabar kesabaran saya.

“Akibat gila berjudi inilah MZ tak pernah ada duit. Saya selalu nasihatkan dia supaya berhenti berjudi, jangan membazir dan tak ada orang kaya kerana berjudi, sebaliknya jadi miskin papa kedana. Dia tuduh mulut saya jahat doakan dia papa kedana. Sebenarnya itulah yang dilarang oleh agama, berjudi haram, lagi saya sebut haram, bertambah menyinga dia konon dia boleh kaya dengan judi kalau rajin berusaha.

“Bila saya nasihatkan dia kata saya berleter sekat rezeki nak masuk. Paling menyakitkan hati jika saya nasihat dia angkat kaki tinggalkan rumah, dah subuh baru balik. Dulu saya fikir dia keluar rumah jumpa kawan, rupanya saya dapat tahu dia pergi belajar, bukan belajar kelas malam untuk dapat ijazah, tetapi kelas khas belajar ramalan nombor judi. Rupanya ada kelas khas meramal nombor, contoh nombor mana boleh strike dan nombor mana yang kurang bagus dan kalau nak menang besar kena letak duit lebih banyak lagi. Cam tu!

“Mulanya memang saya tak tahu pasal kelas belajar ramal nombor ini hinggalah satu hari saya lihat dia mengatur kertas nombor lama yang dia pernah beli atas meja. Terkejut beruk saya, banyaknya duit yang dia dah habiskan beli nombor. Saya nampak waktu saya terjaga tengah malam nak minum, rupanya dia buat ramalan lebih kurang pukul 3 atau 4 pagi. Rasanya kalau waktu itu dia buat solat taubat ke, tahajud ke atau hajat lebih baik daripada mengkaji nombor judi tu, paling tidak Allah berkati hidupnya, sebaliknya dia cari bala kemurkaan Allah.

“Waktu dinihari takkan kita nak berleter atau mengamuk, tentu jiran tetangga terjaga, jadi kita tengok dan beristighfar, sambil berdoa agar Allah tiupkan hidayah dalam dirinya. Ketika dia mentelaah nombor kita lalu pun dia tak nampak.

“Bila selalu sangat mentelaah nombor tentulah mengganggu tidurnya, dan pasti sering bangun lewat ke tempat kerja. Pernah dia ke tempat kerja pukul 12 tengah hari, alasannya kereta rosak dan jumpa doktor dan macam-macam. Pernah juga saya tengok dia masih tidur waktu saya dah balik kerja, bila tanya tak kerja ke? Dia kata MC badan tak sihat! Sebenarnya mengantuk bangun lambat. Kalau hari-hari tak tidur boleh sakit dan boleh dapat surat amaran dari pejabat.

“Orang gila nombor memang macam orang gila. Pernah dia dapat ramalan daripada kelas ramalan nombor yang dia dapat nombor baik. Dalam diam-diam dia jual kereta dan labur semua duit jualan kereta beli nombor konon nak dapat sejuta ringgit.

“ Gila! Memang dia gila! Saya terkejut bila dia kata dah jual kereta! Tapi esoknya dia lagi terkejut, tepuk dahi beberapa kali bila nombor yang diramal tak keluar. Hangus kereta kerana judi. Bila saya tanya kenapa jual kereta dia diam macam batu! Tak berbunyi!

“Bila saya hangin dia jual kereta, dia tutup mulut saya bagi RM500. Dia ingat cukup ke jumlah tu! Saya terus membebel, dia ambil jalan mudah tak balik malam, dah subuh time saya tidur baru balik. Saya pernah terfikir nak kuncikan pintu, tetapi terfikir tak mahu ganggu jiran. Kalau saya kunci pasti dia tumbuk dan tendang pintu sekuat hati suruh buka.

“Bila dah tak ada kereta saya fikir tentu dia pergi kerja naik bas, tetapi dia pakai kereta saya pulak. Dengan muka tak mahu dia suruh saya pergi kerja naik bas, sedangkan dia tahu tempat kerja saya memang jauh. Bila dia sorok kunci kereta, saya terpaksa tumpang kawan kereta kawan. Takkan nak free, terpaksa bayar RM8 sehari untuk duit minyak kereta kawan.

“MZ tak peduli saya tumpang kawan perempuan ke lelaki ke dia tak kisah asalkan dia boleh pakai kereta saya. Sedangkan kereta itu saya beli, petrol saya isikan tetapi saya pulak kena tumpang kawan nak pergi kerja nak cari rezeki.

“Itu bab judi dan jual kereta untuk makan minum keluarga sebulan dia cuma bagi RM300 kadang kadang RM200 sahaja, cukup ke? Bila saya kata tak cukup mintak lebih, dia jadi batu tak berbunyi. Memang menyakitkan hati. Mana cukup RM300 sebulan dengan anak dah bertambah 3 orang dan semakin besar. Jadi semua saya terpaksa tampung.

“Pernah saya uji dia ke pasar raya nak suruh dia bayar. Dia ikut dan ambil benda-benda yang dia suka makan. Bila habis, dia sorong troli sampai cashier dan terus keluar nak merokok dan suruh saya bayar. Memang jahat! Begitu juga kalau anak-anak ajak makan di restoran makanan segera dia order, lepas tu dia keluar hisap rokok, kita yang kena bayar. Bila makanan tersedia dia duduk makan. Sakitnya hati. Perangai buruknya buat saya takut nak ke pasar raya atau ke restoran bersama dia takut kena perangkap.

“Setelah bercerai dua anak saya masuk kolej nak beli laptop, beli buku atau kamera untuk belajar, dia suruh mintak pada emak. Memang hampas!

“Bila adik-beradik ipar tanya kenapa bercerai bukankah lebih baik ada suami boleh tanggung anak-anak. Saya kata tak guna saya bercerita keburukan MZ sebab mereka takkan percaya.

“Saya lebih tenang kalau bercerai sebab boleh guna kereta sendiri, tak payah tumpang orang lagi. Kalau dia kahwin lagi biar isteri baharunya tahu perangai dia sebenar dan tak perlu saya bercerita kepada adik-beradiknya.

“Selama berkahwin 15 tahun semua urusan rumah saya pikul, beli kereta, bayar duit sewa rumah, bayar bil, tanggung makan minum keluarga termasuk MZ. Kalau mintak pada MZ, dia tak pernah ada duit. Sebab dalam otaknya fikir nombor apa baik , nombor apa naik, nombor apa nak beli. Anak bini pandai kaulah nak hidup.

“Sebelum bercerai saya dengar MZ ada kekasih. Satu hari saya tanya betul ke dia ada kekasih? Kalau betul tolong ceraikan saya, dia setuju janji dalam mahkamah nak bagi nafkah RM300 sebulan untuk seorang anak. Tiba masanya dia beri RM300 ikut masa dia suka.

“Bila dua anak masuk kolej, dia bagi pada anak sendiri RM150 hingga RM200 sebulan seorang, Duit itu dia kata duit nafkah. Tapi mana cukup? Anak yang sekolah menengah tak bagi pun. Akhirnya kerana kesian anak-anak tak cukup makan, saya terpaksa topup. Kalau anak mintak lebih dia suruh berhenti belajar.

“Jadi, mana anak-anak tak sakit hati kalau mintak duit pada ayahnya. Akhirnya emak kena pikul. Apa punya jenis ayah macam ini?

“Pada saya inilah bahayanya kahwin jantan tahi judi. Nasihat saya kepada gadis-gadis di luar sana kalau nak kahwin tengok dulu bakal suami tu. Kalau dah terkahwin, jangan jadi macam saya jangan bersabar lama lama tanggung dia, lagi besar masalahnya kita kena pikul. Lebih baik `buka langkah seribu’. Tak ada gunanya sabar sebab dia tak akan berubah, sebaliknya hidup kita yang akan terseksa.’’ Itu cerita Ummi Salamah untuk difikir-fikirkan bersama.