Konsep itu dapat dilihat dalam beberapa ciri di kafe berkenaan seperti rekaan bangunan, kedai atau perabot, signature atau paten unik yang hanya terdapat di kafe tersebut, hidangan makanan barat, asia atau gabungan dan pelbagai minuman seperti Blue Curacao Mojito dan Jelly Coffee seperti yang terdapat di iLapar Cafe.

iLapar Cafe yang terletak di Ara Damansara di Selangor, merupakan antara kafe hispter yang menjadi lokasi `wajib' anak muda menjamu selera sambil bergambar secara berkumpulan mahupun selfie.

Pemiliknya, Wan Norashikin Wan Mohd. Zainuddin, 31, memberitahu, kafe yang menggunakan lebih 10 bean bag sebagai pengganti kerusi itu dibuka pada awal Februari tahun ini adalah hasil kerjasama antara beliau dan empat beradiknya yang lain.

“Pada awalnya saya hanya merancang ingin membuka perniagaan dalam food truck tetapi terlalu banyak prosedur yang menyebabkan kami mengubah keputusan dan membuka sebuah kafe.

“Idea untuk menggunakan bean bag ini selepas saya dan keluarga bercuti ke New Zealand, di situ terdapat sebuah kafe yang menggunakan bean bag dan hanya menghidangkan kopi kepada para pelanggan,” katanya.

Jelas Wan Norashikin atau lebih dikenali sebagai Yun, waktu operasi iLapar Cafe bermula pukul 5 petang hingga 12 tengah malam dan menariknya pelanggan boleh menjamu selera sambil menonton filem yang ditayangkan di kawasan restorannya itu.

“Berikutan banyak kafe hipster, kami adik-beradik perlu melakukan pelbagai strategi pemasaran untuk memastikan pelanggan sentiasa ke iLapar setiap malam termasuk menyediakan perkhidmatan shisha dengan pelbagai perisa.

“Alhamdulillah, selepas beberapa promosi di laman sosial seperti Instagram dan Facebook, kini bilangan pelanggan semakin bertambah hingga sekurang-kurangnya 300 pinggan digunakan dalam tempoh hanya beberapa jam,” ujarnya.

Tambah pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pentadbiran Perniagaan Pemasaran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini, beliau merancang untuk mengubah suai dan menambah beberapa bean bag serta kakitangan sebagai perancangan jangka pendek.

“Semua perancangan ini perlu dilakukan segera kerana bilangan pelanggan bertambah dari masa ke semasa, malah terdapat beberapa pelanggan terpaksa menunggu dan beratur satu jam setengah kerana kafe penuh.

“Sebagai peniaga, sudah tentu saya tidak mahu keadaan sedemikian berlarutan, jadi kami perlu menyediakan lebih banyak kemudahan dengan segera, lagi pun kawasan kafe ini masih luas kerana beruntung ia adalah corner lot,” katanya.

Menurut Wan Norashikin, bagi jangka panjang pula beliau kini sedang mencari tanah di Pulau Langkawi, Kedah untuk membuka cawangan kedua iLapar.

“Kebetulan ayah saya memang berasal dari Arau, Perlis dan ramai saudara-mara saya di Langkawi, jadi alang-alang iLapar Cafe ingin menyasarkan pelanggan dalam kalangan pelancong pula,” katanya.

Bagi mereka yang ingin merasai pelbagai menu menarik di iLapar Cafe, bolehlah mengunjungi kafe ini yang berdekatan Tesco Extra Ara Damansara, Selangor.

iLapar Cafe turut berdaftar dengan Food Panda bagi perkhidmatan penghantaran atau hubungi terus Wan Norashikin di 017- 6044416 untuk tempahan.