Usaha mengkomersialkan makanan warisan itu membuatkannya semakin dikenali terutama dalam kalangan mereka yang mengemari makanan autentik.

Perkembangan itu turut mengujakan seorang pengusaha sambal hitam, Siti Aminah Shamsuddin, 39, yang berbangga apabila makanan asli negerinya kini popular.

Jika dahulu sekadar ‘makanan orang kampung’, kini sambal hitam sudah ada di restoran-restoran besar, bahkan turut ‘masuk’ ke istana.

“Tiga tahun lalu ketika saya menyuarakan hasrat untuk berniaga sambal hitam, ahli keluarga saya agak skeptikal, tidak yakin ada orang mahu beli makanan kampung itu.

“Idea itu timbul selepas saya berhenti kerja sebagai pengurus sumber manusia dan tercari-cari apa yang boleh dilakukan bagi menjana pendapatan.

“Saya terfikir untuk buat sambal hitam kerana sejak kecil itulah yang emak hidangkan.

“Percayalah, dalam bulan Ramadan, sekadar nasi panas, telur dadar, ulam dan sambal hitam sudah cukup membuka selera terutama ketika sahur,” katanya kepada Mega Rona.

Menurutnya, terdapat tiga variasi sambal hitam iaitu Sambal Hitam Ikan Talang, Sambal Hitam Ikan Bilis Basah dan Sambal Hitam Ikan Bilis Kering di bawah jenama Minz, iaitu gabungan namanya dan suami, Zahari Jaffar, 56.

Wanita berasal dari Raub, Pahang itu menjadi pengusaha pertama memperkenalkan Sambal Hitam Ikan Talang hasil inovasi menggunakan ikan talang jeruk.

Ditanya keistimewaan produk itu, Siti Aminah berkata, dia berusaha mengekalkan rasa asli sambal hitam tanpa menggunakan perisa tambahan.

SAMBAL HITAM jenama Minz tidak menggunakan perisa tambahan.
SAMBAL HITAM jenama Minz tidak menggunakan perisa tambahan.

“Sambal hitam yang asli ada rasa aroma asap kerana orang dahulu masak menggunakan dapur kayu. Sambal akan dimasak lama sehingga 12 jam untuk memastikan belimbing buluh benar-benar kecut dan airnya kering. Sebab itu bau asap dari kayu api menyatu dalam sambal membuatkan rasanya unik.

“Rasa itu juga yang saya cuba kekalkan. Sebab itu, belimbing buluh yang saya gunakan dimasak oleh saudara-mara di kampung di Ulu Tembeling menggunakan dapur kayu.

“Selepas itu, barulah saya masak dengan bahan lain.

“Saya memang tidak berkompromi dari segi rasa kerana saya mahu pelanggan menikmati rasa sebenar sambal hitam sebagaimana yang saya biasa makan semasa zaman kanak-kanak dahulu.

“Alhamdulillah, pelanggan yang sudah biasa makan sambal hitam mengakui keaslian rasa sambal hitam saya,” katanya sambil memberitahu kedainya terletak di Setia Alam, Selangor.

Ditanya mengenai cabaran, katanya, paling getir adalah ketika enam bulan pertama beroperasi apabila setiap hari dia terpaksa bangun seawal pukul 4 pagi untuk ke pasar membeli barang, kemudian masak, membungkus, menghantar tempahan dan sebagainya.

“Semua ini dilakukan sendiri tanpa dibantu suami seperti sekarang.

“Jika tidak memasak, saya akan tebalkan muka, pergi dari satu kedai ke satu kedai untuk minta izin meletakkan produk saya. Sudah tak ada rasa malu lagi,” katanya.

Melalui bantuan teknologi Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI), dia berjaya memendekkan tempoh memasak tanpa menjejaskan kualiti produknya.

Kini selepas tiga tahun, Siti Aminah berkata, selain mempunyai lebih 20 ejen atau wakil pengedar, Sambal Hitam Min’z turut ditempatkan di kedai vendor sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur dan terbaru boleh didapati di stesen minyak Petronas terpilih.

Bagi yang ingin mendapatkan produk ini layari Facebook, minionlicious atau Instagram @minzsambalhitam atau hubungi 017-2757517.