Bagi Reni Edriyanti Sumardi, 28, dia tidak menyangka kehidupan keluarganya berubah menjadi lebih baik selepas menyertai pengeluar susu segar jenama Farm Fresh sebagai wakil jualan.

Ibu kepada dua cahaya mata itu percaya pasti ada hikmah di sebalik apa yang dilalui dan atas alasan itu, wanita kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini gigih membina kejayaan dalam perniagaan susu.

Pengalaman Reni yang mula berniaga nasi campur di kaki lima selepas tamat peperikaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdepan banyak cabaran selain pendapatan harian yang ada pasang surutnya.

Katanya, cabaran itu sentiasa mengingatkannya bahawa untuk berjaya, seseorang itu tidak boleh leka dan perlu beringat dalam menjalani kehidupan seharian.

“Selepas itu, saya berniaga nasi campur menggunakan food truck, namun kemudian memilih untuk berniaga susu segar mulai Januari 2017.

“Mungkin ia kerana minat yang menebal dalam bidang keusahawanan di samping mahu mencari pendapatan tambahan bagi menyara keluarga.

“Apatah lagi ketika itu saya sedang hamil dan mengamalkan susu segar kurma yang memiliki banyak khasiat,” katanya yang kini sarat hamil anak ketiga.

Reni diumumkan pemenang Anugerah Juara Susu (AJS) 2019 anjuran Farm Fresh yang berlangsung di Hotel Awana Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.

Dia turut memenangi Anugerah Wakil Jualan Terbaik Negeri pada majlis yang dihadiri Pengarah Urusan Farm Fresh Milk Sdn. Bhd., Loi Tuan Ee.

Anugerah itu diraih kerana Reni berjaya mencatatkan jualan tertinggi dalam kalangan wakil jualan sepanjang 2018 iaitu sebanyak RM400,000.

Mengimbau kenangan katanya, dengan modal sebanyak RM1,000 dia menjual susu segar Farm Fresh dengan memperoleh pendapatan permulaan antara RM500 hingga RM1,500 yang dianggap berbaloi bagi seorang suri rumah.

Namun siapa sangka, dia kini meraih pendapatan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan selepas berjaya menaikkan perniagaan baru dengan meningkatkan jualan.

Selain menggunakan rangkaian ejen, dia juga gigih memasarkan susu segar jenama itu di kedai runcit dan sekolah.

“Hasilnya, jualan susu segar meningkat mendadak dan jualan memuncak selepas susu kurma yang juga produk baru Farm Fresh menjadi fenomena pada setiap kali Ramadan.

“Malah, bisnes susu segar dan susu kurma terus tular dan saya memikirkan mungkin ini peluang terbaik untuk saya bergelar usahawan berjaya,” katanya yang mempunyai kira-kira 10 ejen ketika ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh Milk Sdn. Bhd., Azmi Zainal berkata, AJS 2019 diadakan bagi mengiktiraf usaha, komitmen serta kegigihan ejen pengedar dalam meningkatkan jualan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Selain itu, majlis tersebut juga menghimpunkan usahawan produk susu segar di bawah jenama Farm Fresh,” ujarnya.