“Tetapi berapa lama kita nak enjoy, tentu setelah beranak pinak kita berhajat nak memiliki rumah sendiri. Tak dapat yang besar yang kecil pun tidak mengapa. Asalkan ada bumbung untuk berteduh. Tetapi suami saya, Shazmi lain sikit, katanya masa akan tiba bila ada duit lebih. Macam mana nak ada duit lebih kalau tidak menyimpan,’’ itu kata Ezani memulakan ceritanya ketika menghubungi penulis.

“Masa berlalu begitu pantas, pejam celik dah masuk lapan tahun. Kami masih menyewa. Yang membanggakan Shazmi dia ada kereta idaman yang `disolek’ setiap hari dan `dibedak’ bila ada duit lebih.

“Masa mula-mula kahwin saya tak kisah sangat dia beli kereta secara berkongsi dengan saya, tetapi hobinya mencantikkan kereta itu saya tak berkenan. Pantang ada duit ada saja benda baharu yang dia nak beli. Bila nak simpan duit dan bila nak ada rumah sendiri?

“Setiap kali saya sebut nak beli rumah, dia suruh saya sabar, sedangkan harga rumah sentiasa naik setiap tahun. Dia kata dia ada cara nak beli rumah, dia ada kawan yang kerjanya jual beli rumah, dan dia nak joint belajar cara jual beli rumah. Katanya lagi kalau dia ikut bisnes jual beli rumah senang nak beli rumah. Lagipun bisnes ini tak perlu keluar duit. Saya tak kisahlah setakat nak belajar, pergi kursus, asalkan ada rumah sendiri.

“Namun kata Shazmi kena keluar sedikit modal baru boleh jadi. Bab itu saya terbantut. Mana nak cari modal kalau tak pernah menyimpan. Lagi pun dia kata kerja jual beli rumah tak perlu guna duit, hanya perlukan kemahiran menyakinkan pembeli.

“Kata Shazmi kalau nak tunggu gaji, simpan duit memang takkan dapat beli rumah. Berapa sangat boleh simpan sedangkan rumah semakin mahal. Akhirnya dia bercadang nak ikut kawannya buat bisnes jual beli rumah dan lebih menakutkan dia mahu berhenti kerja.

“Kita mesti jadi macam kaum Cina, mereka bekerja keras untuk hidup. Bisnes, itulah kejayaan mereka. Cuba tengok berapa ramai orang Cina yang makan gaji, lebih ramai buat bisnes. Kalau satu bisnes gagal, dia cuba bisnes lain. Mungkin bisnes lain beri mereka kejayaan, kata Shazmi mengiakan hajatnya.

“Saya tak nafikan kejayaan orang Cina kerana mereka pandai bisnes, tetapi ada juga yang gagal dan bertukar-tukar jenis bisnes. Bagaimanapun jika gagal mereka ada keluarga, saudara-mara ataupun persatuan yang datang membantu. Malah ada rakan yang bantu bagi ilmu dan pinjamkan duit. Persatuan mereka kuat banyak duit.

“Kalau orang Melayu nak buat bisnes siapa nak bantu selain bank? Akhirnya kalau gagal, kita kena bayar hutang. Tak bayar kita akan dikejar dengan bank dan akhirnya disenarai hitam, Berapa ramai orang kita kena senarai hitam?

“Itu cara bisnes mereka guna banyak duit, kata Shazmi, tapi bisnes yang tengah fikir dan dirancangkan ini tak banyak guna duit. Yang penting kemahiran mempelbagaikan bisnes. Namun saya kurang yakin dengan kata-kata Shazmi. Kejap dia kata tak guna duit, kejap lagi dia kata mana ada bisnes tak guna duit. Betul-betul memeningkan otak saya.

“Inilah bermulanya keazaman Shazmi hendak buat bisnes jual beli rumah. Dan dia bersungguh sungguh hendak berhenti kerja. Saya memang kurang yakin. Shazmi kemudian telah bawa saya berkenalan dengan saudaranya seorang ahi perniagaan berjaya.

“Peristiwa ini berlaku lebih kurang empat tahun lalu setelah kami ada dua orang anak. Bila dah beranak pinak tentulah keputusan Shazmi hendak berhenti kerja menakutkan saya. Sebab saya banyak dengar kes suami buat bisnes isteri kena tanggung keluarga, paling tidak lima atau enam tahun sebelum bisnes suami berjaya. Lebih teruk lagi ada yang bercerai-berai bila isteri dipaksa buat pinjaman bank untuk bisnes suami tetapi akhirnya gagal. Isteri pulak kena pikul hutang.Menakutkan.

“Oleh kerana hajat Shazmi kuat nak buat bisnes, akhirnya dia berhenti kerja. Dia jadi ejen jual beli rumah.

“Entah macam mana setelah setahun, dia berjaya jual sebuah pangsapuri tetapi saya takut. Sebab ketika Shazmi tak bekerja saya yang pikul beban menanggung makan minum keluarga,

“Nak bayar sewa rumah, bayar upah pengasuh anak, yuran tadika, makan minum, bil utiliti semuanya saya kena pikul. Rasanya terlalu berat dan tak mampu saya nak pikul lagi.

“Jual rumah bukan boleh setiap hari atau setiap bulan. Bila tiada duit masuk, bermakna tak ada duitlah untuk makan minum keluarga. Ini yang saya takut, sebab gaji saya berapa sangat nak tanggung semua. Shazmi cadangkan buat pinjaman bank. Saya tak faham kalau bisnes tak pakai duit, mengapa buat pinjaman bank. Saya tak mahu buat pinjaman. Saya takut berhutang.

“Dia pujuk emak dan adik-beradik nak pinjam duit. Mereka bantah. Keluarga Shazmi marahkan saya. Kata mereka kalau suami susah, isterilah bantu. Kenapa tak suruh isteri buat pinjaman bank. Saya pula dipersalahkan kerana tak bantu Shazmi buat pinjaman bank.

“Ketika itu keluarlah gosip mengutuk saya tak mahu tolong suami, isu dah jadi amat besar. Satu keluarga salahkan saya kerana tak mahu bantu suami. Akhirnya berlaku sindir-menyindir salahkan saya. Mengapa tak salahkan Shazmi yang sanggup berhenti kerja kerana nak buat bisnes dan jadi ejen hartanah itu? Patutnya mereka nasihatkan Shazmi, tak ada duit buat apa berhenti kerja. Saya cuba jelaskan yang menurut Shazmi bisnes jual beli rumah tak guna duit, hanya guna kepakaran, bercakap. Tetapi mereka tetap marahkan saya dan tak mahu dengar penjelasan saya.

“Saya dari awal lagi tak mahu pinjam bank, sebab tahu saya tak mampu nak bayar. Disebabkan keadaan dalam rumah begitu `tegang’ disebabkan duit, saya ambil keputusan balik tinggal di rumah emak, sebab saya tak sanggup `berperang” dengan Shazmi dan keluarganya.

“Shazmi letak syarat kalau saya keluar rumah jatuh talak. Saya terima.Biarlah saya jadi ibu tunggal asalkan tak berhutang. Namun selepas sebulan Shazmi ganggu saya di pejabat nak rujuk semula, saya beritahu keputusan saya muktamad.

“Setahun berlalu, akhirnya saya dengar Shazmi nikah lagi dengan seorang ibu tunggal. Saya bersyukur, terlepas daripada gangguan. Tak sampai enam bulan saya dengar Shazmi dah bercerai. Kini dia duduk di rumah emaknya.

“Masalahnya sekarang walaupun kami sudah dua tahun bercerai, tetapi keluarga Shazmi tetap salahkan saya kerana tak bantu suami. Pada saya senang, jika mahu Shazmi bahagia berjaya buat bisnes, keluarga tak kiralah emak bapak, adik beradik kenalah berkorban keluarkan duit bantu Shazmi jika dia percaya Shazmi boleh buat bisnes.

“Mungkin mereka juga tak yakin dengan kebolehan Shazmi sebab itu mereka tak mahu bantu.

“Sebenarnya saya yakin jika Shazmi dari awal bersungguh-sungguh buat bisnes dia boleh berjaya tetapi gaya hidupnya berbeza. Dia lebih pentingkan ketampanan diri dan keretanya. Sebab itu saya kurang yakin pada Shazmi apa lagi nak pinjamkan duit bank untuk dia. Jadi sebelum saya hancur terbelit dengan hutang bank, lebih baik saya tarik diri.’’ Itu cerita Ezani yang bertindak tegas dalam mengharungi hidup.

Jual rumah bukan boleh setiap hari atau setiap bulan. Bila tiada duit masuk, bermakna tak ada duitlah untuk makan minum keluarga. Ini yang saya takut, sebab gaji saya berapa sangat nak tanggung semua.