APABILA berada dalam bidang ini, perasaan gayat dan takut perlu
APABILA berada dalam bidang ini, perasaan gayat dan takut perlu diketepikan.

Sementara menantikan segala kelengkapan berada pada tahap sempurna sebelum melakukan tugas masing-masing, keempat-empat wanita ini mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalaman selama bekerja di dalam bidang itu.

Bagi Ruthlia Tira Matthew, 25, gadis dari Sarawak ini mengakui bukanlah upah lumayan yang dikejarnya apabila memilih kerjaya itu. Sebaliknya dia amat meminati aktiviti lasak serta kepuasan bekerja di aras tinggi selain faktor bukan semua orang memiliki peluang tersebut.

Biarpun ada yang menganggap kerjaya itu sebagai gila, dia sendiri pada mulanya tidak tahu wujudnya pekerjaan tersebut sebelum diperkenalkan oleh rakannya tentang skop kerja sebagai juruteknik akses tali.

“Saya seorang yang aktif dalam aktiviti rekreasi lasak seperti mendaki gunung dan memanjat dinding, jadi saya banyak terdedah dengan aktiviti abseiling yang melibatkan teknik-teknik ikatan tali.

“Kebetulan pula saya ingin mendalami teknik asas tali, jadi saya mengambil kursus dengan Anas Consultancy & Services. Sepanjang berkursus, saya didedahkan dengan pelbagai cabang kerjaya melibatkan abseiling. Tidak sangka rupa-rupanya wujud kerja berkaitan tali dan dari situ timbul minat untuk mencuba,” katanya yang baru setahun bekerja dalam bidang tersebut.

Menurutnya, dia mengambil masa beberapa bulan untuk meyakinkan keluarga yang bimbang tentang kerjaya dipilihnya. Namun, itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk menggalas tugas sebagai juruteknik asas tali.

“Lama-kelamaan keluarga menerimanya apabila melihat saya mampu membawa diri dengan baik,” ujarnya.

Katanya, ramai beranggapan kerjaya melibatkan bangunan tinggi terbatas kepada tugas mencuci bangunan sedangkan skop kerja itu amat luas kerana berada dalam bidang penyelenggaraan profesional.

PENTINGNYA kerjasama berkumpulan sepanjang melakukan tugasan di
PENTINGNYA kerjasama berkumpulan sepanjang melakukan tugasan.

Menurutnya, mencuci bangunan adalah salah satu daripada cabang kerjaya itu, namun mereka dilatih dengan kemahiran mengakses kawasan yang sukar dicapai dari tempat tinggi untuk pelbagai aplikasi industri seperti penyelenggaraan paip dan elektrik, pembinaan, pemeriksaan dan kimpalan.

Meskipun memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan mekanikal, dia tidak menyesal memilih kerjaya itu kerana kemahiran yang digunakan tidak jauh berbeza dengan apa yang dipelajarinya ketika di universiti.

“Perjalanan kerjaya saya masih panjang. Saya mahu mendalami kemahiran akses tali kerana saya tahu bidang kejuruteraan juga menggunakan kaedah kerja yang sama. Diharap pengalaman yang dikumpul ini dapat membantu saya pada masa hadapan jika mahu menukar kerjaya,” katanya.

KERJAYA ini memerlukan kemahiran mengakses kawasan yang sukar
KERJAYA ini memerlukan kemahiran mengakses kawasan yang sukar.

Baru tiga bulan melangsungkan perkahwinan, Aiza Faizin Mohd. Rosli, 25, masih setia dengan kerjaya itu biarpun sudah bertukar status menjadi isteri orang.

Sama seperti Ruthlia, dia juga seorang yang menggemari sukan ekstrem dan tidak kisah apabila berada di tempat tinggi.

Apabila terbuka peluang untuk bekerja dalam bidang ini, dia tidak melepaskan peluang. Bermula ‘kosong’, Aiza menerima latihan daripada syarikat Anas Consultancy & Services untuk mendapatkan sijil pentauliahan kecekapan.

Apabila bekerja dalam bidang itu, perasaan gayat dan takut perlu dibuang jauh-jauh supaya tidak menjejaskan prestasi kerja. Namun, sebagai manusia biasa, dia tidak terlepas daripada perasaan berdebar-debar setiap kali mahu melakukan tugas.

Katanya, sebelum melakukan tugas, dia akan mengambil mood terlebih dahulu dengan melihat ke bawah dan menikmati pemandangan itu selama beberapa minit.

Selepas menarik nafas dan mendapat sokongan rakan-rakan, sedikit demi sedikit, perasaan takut mulai lenyap dan gayat pula hilang sekelip mata sekali gus bertukar menjadi teruja.

“Setiap hari, kami terdedah kepada risiko kemalangan, lebih-lebih jika tidak mengikut prosedur operasi standard bekerja di tempat tinggi.

“Persediaan itu penting kerana kerja ini boleh mengambil masa yang panjang selain ada kalanya berlaku banyak perkara di luar jangka.

“Cabaran paling ketara adalah cuaca kerana ia di luar kawalan kita. Bayangkan jika sudah di pertengahan bangunan, tiba-tiba hujan, kilat atau guruh. Kami perlu segera turun jika tidak jumpa sebarang akses masuk ke dalam bangunan.

“Jika keadaan hanya berangin, kerja perlu diteruskan. Namun, agak sukar kerana tubuh kita ‘terhuyung-hayang’ di tepi bangunan dan setiap bangunan pula berbeza reka bentuknya. Bangunan yang berlekuk menyukarkan lagi pergerakan kami,” katanya.

Sepanjang dua tahun bekerja, dia tidak pernah ditimpa kemalangan dan hanya pernah mengalami luka-luka ringan sahaja.

Sementara itu, Nurul Nadirah Shamsul Liani, 27, dan Nurul Akma Abd Rasid, 22, turut mengakui pentingnya kerjasama berkumpulan ketika melakukan tugasan kerana jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini, rakan itulah yang memainkan peranan membantu.

KUALA LUMPUR , 25 OKTOBER 2018 - Liputan empat orang wanita pembersih
 

Apabila berada dalam keadaan bahaya, mereka cenderung berasa panik yang boleh menjadikan situasi semakin teruk. Jadi, rakan setugas akan menenangkan mereka dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.

“Mereka yang bekerja dalam bidang ini adalah profesional kerana kami saling berkait rapat antara satu sama lain. Pekerjaan ini memerlukan kerjasama setiap ahli pasukan.

“Tidak semestinya ahli yang hanya memegang tali dari atas dan tidak turun dianggap tidak profesional kerana hakikatnya dia umpama cermin kepada pemanjat lain sebab membantu mengawasi keadaan sekeliling,” kata Nurul Nadirah.