Walaupun Hafizah dikenali dengan perwatakan lasak dan berdikari, namun sebagai wanita hatinya mudah tersentuh setiap kali terkenangkan anak-anak yang berada jauh daripada pandangan dan pelukannya.

Begitulah hakikatnya percintaan jarak jauh (PJJ).

Bukan mudah untuk melaksanakan tugasnya dengan sempurna ketika sedang belayar di laut yang perlu berdepan masalah cuaca dan keadaan laut yang tidak menentu, mabuk laut dan pening, ditambah pula dalam keadaan terpaksa meninggalkan keluarga tercinta dalam tempoh yang lama.

Sejak sembilan bulan lalu, wanita berusia 41 tahun yang bertugas sebagai Jurutera Elektrik dan Senjata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terpaksa memendam perasaan rindu meninggalkan suami dan anak-anak yang menetap di Lumut, Perak demi berkhidmat untuk negara tercinta.

Dia yang kini ditempatkan di SK Pangkalan TLDM Kota Kinabalu hanya melepaskan rindu melalui panggilan telefon atau video setiap hari.

“Namun sekiranya kapal belayar, saya terpaksa tunggu sehingga kembali ke jeti atau ketika ada talian telekomunikasi.

“Gambar dan rakaman video keletah anak-anak yang disimpan dalam telefon pintar menjadi pengubat rindu,” katanya memulakan bicara.

Mengakui hubungan jarak jauh amat sukar, namun ibu kepada empat cahaya mata itu percaya kunci kebahagiaan terletak pada sikap terus terang dan saling mempercayai antara satu sama.

Malah, dia percaya Allah SWT akan menjaga hubungan suami isteri selagi hubungan terhadap pencipta sentiasa dijaga.

“Sesekali berjumpa dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri. Saya akan cuba menghabiskan waktu bersama seperti zaman bercinta. Saya lebih menghargai pasangan apabila melihat pengorbanannya menjaga anak-anak bersendirian dan ruang serta keizinan yang diberikan untuk saya bertugas di kapal.

“Setiap kali menangis, saya pujuk diri untuk bersabar dan reda. Saya percaya pengorbanan dan kesusahan itu akan dibalas dengan sesuatu yang lebih baik dan manis, kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.” ujarnya.

Hafizah yang merupakan graduan ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Telekomunikasi dan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sentiasa berpegang pada prinsip cekal, tabah dan berani dalam meneruskan kerjaya tersebut.

“Sebagai tentera laut, ada ketika kita perlu bertugas di atas kapal, belayar dan meninggalkan keluarga, suami dan anak-anak di rumah. Saya perlu mengikut arahan pihak atasan yang telah memberi kepercayaan kepada saya selagi saya mendapat keizinan suami dan restu ibu bapa dan anak-anak. Saya akan lakukan walaupun sukar dan berisiko,” jelasnya.

Di sebalik kerjaya yang mencabar, Hafizah bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang memahami, bertanggungjawab serta merestui kerjaya pilihannya.

“Suami yang menguruskan anak-anak, hantar dan ambil dari sekolah. Anak sulung dan kedua sudah boleh berdikari, merekalah yang banyak membantu suami menguruskan adik-adik dan rumah.

“Sejak anak-anak kecil, mereka sudah biasa ditinggalkan jika saya berkursus atau perlu bertugas di luar kawasan. Cuma sekarang berbeza kerana mereka ditinggalkan dalam tempoh yang lama,” katanya lagi.

Sebagai ibu yang sentiasa perlu berjauhan dengan anak, Hafizah Idris tidak pernah sekali pun menyembunyikan jawapan apabila ditanya anak-anak ekoran ketiadaannya di rumah.

Sebaliknya, dia meminta anak-anaknya bersabar kerana tugas menuntutnya untuk berada di negeri lain dan belayar di kapal.

“Anak-anak mengetahui tentang pekerjaan saya dan mengapa tidak dapat tinggal bersama mereka.

“Saya terangkan kepada anak-anak bahawa berjauhan hanya untuk sementara waktu sahaja, bukan untuk selamanya.

“Mereka faham dan sentiasa menunggu dan mengira hari menanti kepulangan saya,” ujarnya.

Walaupun sedih kerana perlu berpisah, namun Hafizah cekal berjauhan dan melaksanakan tugasnya dengan sempurna.

Dalam masa sama, dia sentiasa berpegang pada kata-kata dorongan yang memberi semangat setiap kali berasa lemah dan berputus asa.

“Allah tidak membebani seorang hambanya melainkan sesuai dengan kemampuannya - Surah Al-Baqarah ayat 286.

“Saya pegang ayat al- Quran ini. Alhamdulillah kehidupan keluarga dan kerjaya akan berjalan dengan lancar.

“Semua perkara dalam kehidupan ini hanyalah sementara dan tidak kekal lama, jika berjalan dengan baik, nikmatilah.

“Jika berjalan dengan teruk, jangan sedih kerana ia juga tak akan kekal lama.

“Jadi, lalui segalanya dengan hati yang terbuka. Sentiasa positif dan tidak berputus asa,” jelasnya.

Tambahnya, tugas sebagai seorang tentera laut tidak menghalang seorang wanita untuk menjadi isteri dan ibu yang solehah serta cemerlang di dunia dan akhirat.

“Laksanakan tugas sebagai satu ibadah dan peliharalah amanah dan kepercayaan yang diberikan dengan ikhlas serta tanggungjawab.

“Tidak kira apa sahaja tugasan yang diberikan, kepuasan dan nikmat bekerja akan kita rasai jika kita lakukan yang terbaik seperti sabda Rasulullah SAW, lakukanlah pekerjaan itu pada puncak kemampuan,” katanya.


Tugas setanding lelaki

Sejak zaman Rasulullah lagi, wanita melibatkan diri dalam menjaga keamanan negara terutama membantu tentera ketika berperang walaupun bukan di barisan hadapan.

Momokan wanita lemah dan hanya sesuai duduk di rumah tidak relevan lagi ketika ini, sebaliknya masyarakat mula menerima wanita dalam kerjaya setanding lelaki seperti menjaga keamanan negara.

Kini wanita memainkan peranan penting dalam mempertahankan negara daripada serangan musuh sehingga membawa kejayaan.

Kerjaya sebagai seorang pasukan beruniform sering dielak dan tidak disukai terutama golongan wanita kerana perlu melepasi ujian fizikal yang berat tetapi berlainan dengan Hafizah Idris yang berminat menyertainya sejak di bangku sekolah.

Walaupun begitu, dia hanya memohon untuk menjadi tentera ketika sedang menuntut di universiti selepas menonton iklan pengambilan pegawai graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di televisyen.

Usaha dan kerja keras Hafizah selama ini wajar diberi penghormatan kerana tanggungjawab yang dilaksanakannya dalam memastikan semua sistem dan peralatan berkaitan elektrikal, komunikasi, navigasi, sistem kawalan dan persenjataan serta meriam di kapal berada pada tahap kesiagaan terbaik.

“Saya juga bertanggungjawab terhadap anggota di bawah seliaan agar berada dalam keadaan terbaik, memastikan kebajikan anggota dan keluarga mereka terbela dan terjaga,” ujarnya.

Tambahnya, persekitaran pekerjaan di kapal amat unik seperti bekerja dalam rumah dan keluarga yang besar.

Setiap pegawai dan anggota mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“Kami di sini ada ‘ayah’, ‘abang’ dan ‘adik’. Di sini tempat bekerja, makan, tidur dan beriadah.

“Pegawai memerintah umpama bapa atau ketua keluarga. Kami saling memerlukan, sementara bahagian operasi memerlukan unit teknikal untuk menyediakan sistem janakuasa dan kuasa gerak kapal.

“Dalam pada itu, bahagian bekalan akan menyediakan makanan untuk kami menjamu selera. Mengikut perjawatan dan perkhidmatan laut, sebagai seorang pegawai jurutera, saya perlu menjadi ketua jabatan di kapal sekurang-kurangnnya untuk tempoh dua tahun,” jelasnya.

Hafizah yang berkhidmat dalam TLDM sejak 2003 memasang impian untuk bergelar Pegawai Memerintah Wanita pada satu hari nanti.

Wanita yang telah berkhidmat selama 16 tahun dan bertugas di enam unit dan satu kapal itu berjaya mengumpul pengalaman dan kisah suka duka di sebalik kerjayanya.

“Dalam setiap tugas yang dilaksanakan, saya melalui banyak pengalaman. Sebagai tentera laut, kita bukan sahaja bekerja di atas kapal, sebaliknya perlu menyempurnakan pelbagai tugas.

“Saya pernah menjadi pegawai bengkel, pegawai jurulatih yang mengajar di pusat latihan, pegawai staf di Pasukan Simpanan Sukarela TLDM, Pegawai Laksana Unit dan Pegawai Piawaian.

“Dalam melaksanakan tugas hakiki, saya juga diberi peluang menjadi Pegawai Perantara dan Pegawai Pengiring kepada Delegasi Tentera Asing. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk melalui semua pengalaman ini yang saya rasa tidak semua pegawai tentera dapat,” ceritanya mengimbau kenangan yang tidak mungkin dilupakan.